Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Bidang muzik dan hiburan tidak seharusnya diasosiasikan dengan sebarang anasir buruk terutamanya membabitkan penyalahgunaan dadah.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez berkata, muzik bukan disifatkan sebagai barah, namun ia menimbulkan masalah apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan mengedar dadah dalam acara muzik seperti konsert.
Katanya, penganjuran konsert yang berdekad lamanya di negara ini jarang menimbulkan sebarang masalah.
Pun begitu ujarnya, konsert dengan genre muzik tarian elektronik (EDM) di negara ini telah merekodkan 10 kematian membabitkan penyalahgunaan dadah pada tahun 2014 dan tahun ini.
“Amat menyedihkan juga ialah ini kali kedua konsert EDM menimbulkan masalah macam ini di mana melibatkan kehilangan nyawa.
“Dulu pada 2014 Future Music Festival, ada 6 orang meninggal, sekarang 4 orang pula, lebih 10 tahun selepas itu,” katanya kepada Buletin TV3.
Susulan insiden pada 2014, katanya beberapa dasar baharu digubal, termasuk penetapan syarat konsert EDM hanya boleh diadakan di premis tertutup untuk memudahkan kawalan.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana konsert EDM, konsert Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway boleh diadakan di tempat terbuka dan menyebabkan ia sukar dikawal.
Dalam masa sama, Datuk Freddie menyarankan pihak berkuasa untuk memberikan fokus dan mengawal selia penganjuran konsert EDM tanpa menjejaskan penganjuran konsert lain.
Tambahnya, kerajaan juga perlu mewujudkan satu badan bagi memantau dan mengawal selia semua aktiviti membabitkan industri muzik di negara ini.
“Selama 60 tahun, 70 tahun dari zaman P.Ramlee sampai sekarang, kerajaan tidak ada apa-apa kawalan ke atas industri muzik, hanya ada agensi atau jawatankuasa.
“Untuk (industri) perfileman kita ada Finas, tetapi inudstri muzik tidak ada apa-apa badan untuk mengawal industri muzik.
“Jadi saya rasa sudah tiba masanya satu usaha yang tegas diambil oleh kerajaan dan secepat mungkin kita tubuhkan perbadanan ini supaya kita boleh mengawal selia semua aktiviti muzik dan ketepikan aktiviti kurang sihat seperti penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan sifar dadah dalam industri muzik.
Seterusnya, beliau turut mencadangkan agar penganjur konsert berkolaborasi dengan agensi berkaitan sebagai langkah menyebarkan kesedaran.
Selain menasihati pengunjung mana-mana konsert untuk sentiasa berwaspada sekiranya ditawarkan bahan mencurigakan.
Beliau juga tidak menafikan, peredaran zaman membawa kepada evolusi bahan terlarang itu dan ia sukar untuk dikenal pasti.
Justeru, sebarang tawaran yang mencurigakan perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa agar ia dapat dicegah.
“Saya rasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) boleh buka reruai dekat konsert untuk tunjuk inilah jenis-jenis dadah.
“Jadi mereka (pengungjung) harus diberikan semua maklumat dan cara untuk elak daripada benda macam ini (penyalahgunaan dadah) dan jika orang yang nak tawarkan benda haram ini kepada mereka, mereka kena tolak dan buat laporan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.