KUALA LUMPUR: Mutasi dan perubahan tingkah laku adalah antara empat faktor yang membolehkan nyamuk aedes mempunyai daya tahan tinggi dan rintang atau ketahanan fizikal terhadap racun serangga.
Pensyarah Kanan Kumpulan Penyelidikan Kerintangan Insektisid (IRRG) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Intan Haslina Ishak, berkata dua lagi faktor penyumbang ialah perubahan dalam sistem penyingkiran toksin atau detoksifikasi dan peningkatan ketebalan kutikel aedes.
Beliau berkata, pendedahan aedes kepada racun serangga secara berterusan dalam jangka waktu yang lama boleh menyebabkan kerintangan berlaku.
Katanya, kerintangan aedes terhadap racun serangga tidak terkawal berisiko menyebabkan peningkatan kes denggi secara mendadak di negara ini.
“Perubahan dalam sistem detoksifikasi (enzim) pada nyamuk yang mana secara fisiologi, nyamuk mampu untuk menyingkir toksik racun serangga, menyebabkan ia tidak lagi beracun untuk membunuhnya.
“Apabila populasi nyamuk menjadi rintang, ketebalan kutikel boleh meningkat dan menyebabkan racun serangga tidak mampu menembusi untuk membunuhnya.
“Kerintangan tingkah laku lazimnya berlaku apabila nyamuk cuba mengelak daripada terkena kesan racun serangga, contohnya ‘fogging’ dilakukan pada waktu petang dan ini boleh menyebabkan nyamuk mengubah waktu menggigit pada lewat malam kerana tidak mahu terkena kesan racun serangga,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Kajian Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Tokyo, Jepun, mendapati spesies nyamuk yang menyebarkan jangkitan denggi dan virus lain dikesan mempunyai daya tahan tinggi terhadap racun serangga di rantau Asia.
Penyelidik memberi amaran langkah baharu untuk mengawalnya amat diperlukan.
Kajian yang membandingkan populasi nyamuk di beberapa negara di Asia sebelum menemui beberapa mutasi pada nyamuk dari Vietnam dan Kemboja yang menjadikan populasi nyamuk itu tersangat rintang.
Dr Intan Haslina berkata, kajian penyelidikan juga menemui mutasi pada populasi nyamuk di negara ini.
“Kesannya tidak teruk seperti yang dilaporkan di Vietnam dan Kemboja yang mana racun serangga digunakan untuk ‘fogging’ di negara kita masih berkesan.
“Masalah kerintangan aedes di Malaysia belum sampai ke tahap membimbangkan kerana pemantauan dan langkah mitigasi kerintangan aedes kerap dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun, kita mesti sentiasa berjaga-jaga dan memahami ia mungkin berlaku dan pemantauan berterusan adalah amat penting,” katanya.