Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menerima Pingat Setia Perkasa Ketua Pengarah Imigresen (PSPKPI) warna Emas atas sumbangan beliau kepada Jabatan Imigresen (JIM) sepanjang perkhidmatannya.
Pingat yang pertama di antara pingat perkhidmatan Imigresen itu disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada
Sambutan Hari Imigresen tahun 2023 di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.
Mustafar memulakan karier sebagai pegawai perkhidmatan awam pada 1985 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen mulai 14 November 2016 hingga 31 Disember 2018.
Sepanjang menerajui JIM, beliau berjaya membangunkan sistem dalam talian yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara.
Antaranya, pembaharuan pasport secara dalam talian, membangunkan Sistem Maid Online (SMO) bagi memudahkan majikan memohon pembantu rumah asing dan pelaksanaan sepenuhnya permohonan atas talian bagi pegawai dagang (ekspatriat).
Sumbangan lain termasuk menaik taraf ‘Malaysia Visa’ dan ‘Malaysia Pass’ dengan reka bentuk terkini serta komprehensif, termasuk menubuhkan Unit Kebajikan JIM berfungsi sebagai pusat rujukan bagi semua aspek kebajikan pegawai dan kakitangan.
Semasa di bawah kepimpinannya juga, Mustafar menubuhkan Pasukan Taktikal Khas Jabatan Imigresen (PASTAK) bagi menangani operasi, serbuan dan kes berisiko tinggi, selain mengangkat imej JIM dengan memperoleh Pensijilan Piawaian Antarabangsa ISO 37001:2006 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS).
Mustafar menerima pingat, sijil penghargaan dan wang tunai.
Sementara itu, pada majlis sama, tiga individu turut menerima Pingat Setia Berjasa Ketua Pengarah Imigresen (PSBKPI) warna Perak sebagai menghargai usaha mereka dalam memajukan hal keimigresenan dan imej jabatan melalui pendidikan, kebajikan, pemodenan Imigresen serta tugas bakti.
Pingat kedua di antara pingat-pingat perkhidmatan Imigresen itu dianugerahkan kepada Presiden Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM), Datuk Shahul Hamid Abd Rahim; Pengarah Pasukan Teras Bersepadu Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), Supiani Sibin dan Penolong Penguasa Imigresen dari JIM Negeri Johor, Norhisham Murujan.