comscore
Tumpuan :
Nasional

Muslim Care Malaysia (MCM) belum dibenar rentas sempadan Rafah

Lotfy (tujuh dari kiri) bergambar bersama wakil MCM dan NGO dari Turkiye, Jordan dan United Kingdom di Kaherah.

Oleh: Aslina Abu Bakar

MESIR: Buat masa ini, hanya Bulan Sabit Merah Mesir yang bernaung di bawah Bulan Sabit Merah Antarabangsa, satu-satunya organisasi dibenarkan pihak berkuasa Mesir melintasi pintu sempadan Rafah untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pengurus Pusat Operasi Kecemasan Bulan Sabit Merah Mesir, Lotfy Soliman Gheith berkata, ratusan lori dan trak berbaris panjang di laluan menuju lintasan Rafah sejak dua minggu lalu.

“Mereka sedang menunggu untuk diberi kebenaran masuk tanpa mengetahui bila giliran masing-masing akan tiba.

“Petugas Bulan Sabit Merah tidak dibenarkan mengiringi lori dan trak bantuan masuk ke dalam Gaza, sebaliknya hanya setakat di pusat pengumpulan barangan bantuan di bandar Al Arish, kira-kira 45 kilometer dari lintasan Rafah,” katanya.

Beliau berkata, selepas melepasi sempadan Rafah, muatan terpaksa dipindahkan ke lori Bulan Sabit Merah yang didaftarkan di Gaza kerana pihak berkuasa tidak membenarkan lori dari Mesir meneruskan perjalanan dan pengagihan barangan di wilayah Gaza.

“Bagaimanapun, kami lega kerana 40 lori dengan muatan ubat-ubatan dan makanan milik Bulan Sabit Merah dibenarkan masuk ke Gaza pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Kami sedar bantuan dibawa 40 lori itu amat sedikit untuk dua juta penduduk Gaza, tapi itulah saja kebenaran yang diberikan kepada kami pada masa ini,” katanya ketika sesi taklimat kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Turkiye, Jordan, United Kingdom dan Muslim Care Malaysia (MCM) dari Malaysia, di sini, semalam.

MCM diwakili Timbalan Presiden, Mohd Johari Ismail, Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar dan EXCO Media, Tuan Asri Tuan Hussein.

Menurutnya, pek makanan sedia dimakan menjadi keutamaan untuk diagihkan kerana penduduk Gaza kini sukar memasak disebabkan kehilangan tempat tinggal dan air bersih.

“Di Gaza kini tiada air bersih, tiada makanan, tiada elektrik, sumber tenaga lain juga terhad dan infrastruktur tidak lagi berfungsi.

“Selain itu, keperluan ubat-ubatan dan peralatan perubatan amat mendesak namun air dan makanan juga amat penting untuk memastikan mereka yang selamat boleh terus hidup,” katanya.

Lotfy berkata, secara purata setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya dua botol air minuman berukuran satu liter setiap hari.

“Fokus kami kini ialah kepada 500,000 pelarian yang mencari perlindungan di Rafah. Ini bermakna, kita perlukan satu juta botol minuman sehari.

“Kalau dicampur 1.5 juta orang yang ada di bahagian lain di dalam Gaza, jelas kita memerlukan bekalan berbilion botol air minuman pada masa kritikal ini kerana kami menjangka perang ini terus berlarutan,” katanya.

Lotfy berkata, sekatan untuk menghantar bantuan ke Gaza kali ini amat ketat dan situasi sangat kritikal berbanding konflik pertempuran sebelum ini.

“Situasi kali ini paling teruk. Tak pernah saya alami situasi sebegini sepanjang terbabit dalam operasi bantuan kepada mangsa konflik Palestin – Israel sejak 2008,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu rakyat Palestin boleh menghantar sumbangan melalui akaun Muslim Care Malaysia 564490211159 (Maybank) dan 14014010147470 (Bank Islam) dan hantarkan slip pindahan wang ke talian Hotline MCM 011-50050035.

Loading...
Terkini