comscore
Tumpuan :
Nasional

Musim tengkujuh diramal bermula Selasa depan – MetMalaysia

 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada Selasa depan (5 November) dan berterusan sehingga Mac 2025.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku.

“Semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

“Manakala pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Hisham, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.

“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya.

Menjelang pada fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025, jelas Mohd Hisham, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan.

Keadaan tersebut akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlaku gelombang haba.

Bagaimanapun, ujarnya, keadaan diramalkan tidak seteruk seperti tahun 2024 disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun depan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia.

Ia menerusi medium sebaran rasmi di laman sesawang www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Talian hotline METMalaysia 1-300-22-1638 juga boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Loading...
Terkini