Tumpuan :
Nasional

Musa zahir penghargaan kepada Agong atas lantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11. – FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/ Facebook

KOTA KINABALU: Tun Musa Aman menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, dengan lantikan itu beliau berbangga kerana dapat terus berbakti kepada negeri dan rakyat Sabah.

Katanya, beliau menerima pelantikan itu dengan penuh rasa bangga dan mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan baginda terhadap pelantikannya berkuatkuasa Januari 2025.

“Ini adalah penghormatan besar apabila Yang di-Pertuan Agong memberikan kepercayaan kepada saya dengan pelantikan ini serta tanggungjawab yang menyertainya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas keyakinan mereka mencadangkan beliau untuk jawatan yang amat dihormati ini sebagai Ketua Negeri.

“Saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas kepercayaan mencadangkan saya untuk memegang jawatan sebagai Ketua Negeri.

Musa, 73, menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara Kuala Lumpur, pagi tadi.

Beliau menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini setelah berkhidmat selama 14 tahun sejak 1 Januari 2011.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini