KUALA LUMPUR: Vokalis Hujan, Noh Salleh menolak dakwaan bahawa beliau melarikan anak angkatnya Musa dan beranggapan itu adalah fitnah yang cuba untuk menjatuhkan namanya.
Sebaliknya kata Noh, Musa telah diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati dan amanah itu diberikan kepada beliau.
Tambahnya apa yang berlaku juga bukanlah isu perebutan kerana semua urusan dibuat mengikut undang-undang serta dilengkapkan bersama dokumen sah dan tiada unsur penculikan sebagaimana didakwa.
“Sekarang Musa memang di bawah jagaan saya dan dia sangat gembira. Tapi, saya difitnah teruk berhubung isu penculikan itu yang memang tidak berlaku langsung.
“Saya tak pernah kena tangkap, cuma hanya diminta hadir ke balai polis untuk beri keterangan. Tak sampai kena gari atau tiada siapapun masuk lokap, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Terdahulu, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 39, tampil ditemu bual dalam program Melodi di TV3, untuk menjawab dan menjelaskan keadaan sebenar berkaitan isu ‘penculikan’ itu.
Noh berkata, pihak polis juga memberikan kerjasama yang baik kepadanya dan faham dengan situasi berlaku di mana memang tiada unsur berkaitan jenayah langsung dalam insiden itu.
“Jujurnya, saya ‘goyang’ bila dakwaan culik hangat diperkatakan. Mulut orang dan sumber cerita pun saya tak tahu dari mana,” katanya memaklumkan ada cuba berbincang dengan bekas isteri, Mizz Nina berhubung urusan penjagaan, namun gagal.
“Usaha menghubungi bekas isteri mengenai soal penjagaan Musa, sudah saya buat. Demi kepentingan Musa, ego diri saya buang dan beri 150 peratus komitmen untuk kami duduk bincang bersama-sama.
“Tapi, gagal dan saya memang tiada masa nak gaduh atau berdrama sebab kami pun masing-masing sudah berumur 40 tahun,” katanya turut menghubungi orang di sekeliling bekas isterinya itu.
Menurut Noh, misi utamanya inginkan perdamaian dan kedua-dua pihak dapat menjaga serta curahkan kasih sayang penuh kepada Musa yang kini dalam proses membesar.
“Saya bukannya nak pisahkan Musa daripada Mizz Nina. Saya cuma nak beritahu boleh isi ruang kosong yang ada dan dia (Mizz Nina) tak perlu risau kerana kami boleh jaga Musa bersama.
“Semoga boleh ketepikan ego dan berbincang demi kebajikan Musa. Saya nak kami dapat hak bersama dan beri yang terbaik sepanjang membesarkan Musa dalam suasana yang harmoni,” katanya.
Noh berkata, kini dia sangat teruja melayan keletah Musa yang berusia tiga tahun dan semakin membesar kerana hubungan bapa dan anak antara mereka sangat rapat sejak kanak-kanak itu dilahirkan.
Sebelum ini, media melaporkan anak seorang selebriti wanita dilarikan pembantu rumah warga asing, namun berjaya ditahan polis pada hari kejadian selepas dia bertindak pantas dengan membuat laporan di Balai Polis Ampang, Selangor.
Hasil siasatan mendapati, bekas suami selebriti wanita yang pernah bergelar penyanyi suatu ketika dulu itu didakwa menjadi dalang penculikan.
Justeru, nama Mizz Nina dan Noh hangat diperkatakan dan menarik perhatian warga maya, namun masing-masing bertindak berdiam diri dan tidak mengulas langsung isu tular itu.
Terdahulu, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022.
Kini, Noh mahu pun Mizz Nina sudah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pasangan pilihan masing-masing.