Tumpuan :
Nasional

Murid tahun dua alami pendarahan telinga, bengkak pipi, dakwa ditampar guru 

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Seorang murid lelaki tahun dua mengalami pendarahan di kedua-dua belah telinga serta kecederaan pada tisu lembut di bahagian muka selepas mendakwa ditampar guru sekolahnya di sini Rabu lalu.

Kejadian disedari bapa mangsa, Khairul Asraf Razali, 33 tahun, apabila mendapati kedua-dua belah pipi mangsa bengkak.

Khairul berkata, anaknya yang bersekolah di Tahun Dua di sekolah itu mengadu sakit di bahagian muka dan pening kepala sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Anak kami dimasukkan ke wad selama dua hari dan doktor memaklumkan mengalami pendarahan di kedua-dua belah telinga selain bengkak di kedua-dua pipinya,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Khairul mendakwa, kejadian berlaku apabila guru yang dipanggil ustaz itu mencari anaknya di kelas kira-kira jam 7.40 pagi sebelum menampar di muka beberapa kali sehingga terjatuh.

“Kami difahamkan tindakan ustaz itu ekoran aduan rakan anaknya yang juga rakan sekelas anak kami bahawa mereka bergaduh sehari sebelum kejadian itu,” katanya.

Tambah beliau, perbuatan guru itu turut disaksikan murid lain dan pekerja pembersihan sekolah.

Bagaimanapun katanya, guru berkenaan ada menghubunginya pada sebelah petang hari sama untuk meminta maaf tetapi selepas itu tidak lagi bertanya khabar.

“Saya juga bergegas bertemu pihak pengurusan sekolah kira-kira jam 1 tengah hari untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian itu.

“Kami kesal kerana tidak menerima maklumat mengenai perkara itu sedangkan kejadian berlaku pada awal pagi. Anak saya menjawab soalan peperiksaan dalam ketakutan dan menangis,” katanya.

Foto: NSTP

Pasangan itu turut membuat laporan polis di Balai Polis Melor kira-kira jam 2.40 petang bagi membolehkan perkara berkenaan disiasat.

Selain polis, pihaknya turut memohon tindakan segera diambil Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Loading...
Terkini