comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid tahun 4 meninggal dunia akibat keracunan makanan

KOTA KINABALU: Seorang murid di sebuah sekolah rendah di Sandakan dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan, semalam.

Mangsa, Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, 10, sebelum ini dilaporkan tidak dapat datang ke sekolah pada 23 Julai lalu kerana keracunan makanan.

Perkara itu dimaklumkan oleh keluarga murid terbabit kepada guru kelasnya melalui aplikasi ‘Whatsapp’ selepas diberi cuti sakit sehingga semalam oleh doktor di klinik yang merawatnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, menerusi satu kenyataan, berkata guru kelas kemudian dimaklumkan bahawa murid terbabit pengsan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada malam kelmarin.

“Pada jam 7 pagi semalam, guru kelas dimaklumkan oleh waris murid bahawa anak mereka telah meninggal dunia.

“Kejadian pada jam 12 tengah hari, guru besar bersama beberapa orang guru melawat jenazah di rumah nenek murid terbabit di Kampung Tinusa, Sandakan,” katanya.

Raisin berkata, kes itu masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan.

Katanya, maklumat kes yang menimpa murid terbabit setakat ini adalah melalui sumber guru kelas dan bapa mangsa.

Beliau menjelaskan berdasarkan keterangan pihak sekolah, murid terbabit keracunan makanan ketika di rumah, bersama ibunya.

“Murid dan ibu bersama-sama dimasukkan ke wad. Keracunan makanan bukan sebab makanan di kantin sekolah dan hanya membabitkan seorang murid saja bersama ibunya yang mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah.

“Murid-murid lain tidak mengalami sebarang simtom keracunan makanan pada hari yang sama sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan akan membantu keluarga mangsa untuk tuntutan takaful.

“Jabatan akan membuat laporan lengkap kes apabila semua siasatan telah selesai oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan,” katanya.

Sebelum ini, lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, disahkan mengalami keracunan makanan dipercayai akibat memakan nasi lemak.

Bagaimanapun, tiada kes kematian atau gejala teruk dilaporkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini