comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid tahun 4 cedera dilanggar kereta depan sekolah

ALOR GAJAH: Seorang murid Tahun 4 cedera dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan murid lelaki berusia 10 tahun itu retak bahu dan kaki kiri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian murid berkenaan bersama beberapa murid lain sedang melintas dari sebelah kanan ke kiri jalan pada garisan kuning lintasan pejalan berlampu isyarat.

Lokasi seorang murid Tahun 4 cedera selepas dilanggar kereta ketika sedang melintas di hadapan Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah, Alor Gajah, tengah hari tadi.- Foto: Ihsan IPD Alor Gajah

“Bagaimanapun sebuah kereta Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 45 tahun dari arah Lendu ke Masjid Tanah tiba-tiba tidak sempat membrek dan mengelak menyebabkan cermin sisi sebelah kanan bergesel dengan mangsa.

“Akibatnya mangsa mengalami retak bahu dan kaki kiri dan menerima rawatan di zon hijau Hospital Alor Gajah, namun pemandu itu yang juga peniaga tidak cedera,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Arshad berkata, siasatan mendapati tempat kejadian adalah jalan lurus dan tidak hujan selain lampu isyarat lintasan pejalan kaki juga berfungsi dengan baik.

Katanya, pemandu terbabit membuat laporan kejadian di Balai Polis Trafik pada jam 3.17 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini