Tumpuan :
Nasional

Murid Tahun 3 hampir buta akibat main mercun buatan sendiri

KUALA TERENGGANU: Pelajar Tahun 3 menjadi mangsa pertama kes mercun di Terengganu tahun ini.

Ahmad Adi Ikhwan  Mohd Noor, 9 tahun, dari  Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus , Terengganu, hampir buta mata sebelah kanan akibat terkena letupan mercun buatan sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam semalam, mangsa dikatakan sedang melihat rakan-rakan memasukkan belerang mercun bola ke dalam botol plastik.

Dia bagaimanapun tidak menyangka mercun terbabit tiba-tiba meletup menyebabkan serpihan botol terkena mata kanan mangsa.

Ahmad Adi dikatakan bermain mercun di hadapan surau bersama 10 rakannya yang lain.

Ayah mangsa, Mohd Noor Tahir berkata, ketika kejadian dia  sedang mengerjakan solat Tarawih  dan bergegas pulang ke rumah sebaik dimaklumkan kejadian itu.

Mangsa yang dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu menjalani pembedahan selama 8 jam pagi tadi .

Sementara itu tiga rakan mangsa berusia 8 hingga 14 tahun turut dimasukkan ke hospital kerana kecederaan di tangan dan perut dan sudah dibenarkan pulang ke rumah .

Loading...
Terkini