Tumpuan :
Nasional

Murid SK Sena cipta alat mudahkan semburan racun tanaman

Muhammad Uzzair menunjukkan cara penggunaan ADAM.

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Kejayaan 5 murid Sekolah Kebangsaan Sena di Kangar yang mencipta alat memudahkan proses semburan racun memberi manfaat kepada petani dan pengusaha jagung berskala besar.

Inovasi yang dinamakan sebagai Assistive Device Application for Maize (ADAM) merupakan suatu alat yang perlu dipasang pada hujung tiub penyembur racun bagi memastikan semburannya mengenai kawasan diperlukan sahaja.

Alat ini akan dipasang pada hujung tiub penyembur racun supaya semburan hanya mengenai kawasan yang diserang ulat sahaja.

Projek itu dibarisi murid tahun 5 iaitu Muhammad Adam Hakimi Shahriman; Ahmad Aryan Rizqi Ahmad Afrol Rizam; Muhammad Rayyan Syaheef Muhd Nur Rahman; Adam Fawwaz Muhammad Fathehi dan Muhammad Uzzair Harith Mohamad Ridzuan.

Muhammad Uzzair Harith Mohamad Ridzuan, murid tahun 5 SK Sena.

Mereka dibimbing oleh guru sekolah iaitu Azizah Hamzah; Sharifah Noraziah Syed Ali dan Siti Sofiah Abdullah.

“Projek ADAM ni merupakan cetusan idea selepas kami melawat sebuah ladang jagung di Kedah yang diserang ulat ketika hampir tempoh tuaian.

“Inovasi kami simple dan barang yang kami guna ialah corong kon, tiub silinder dan span. Cara menggunakannya juga mudah dengan memasang alat ini pada hujung tiub penyembur racun kemudian halakan racun pada bahagian yang mahu disemburkan racun.

“Kelebihannya adalah menjimatkan tenaga, menjimatkan penggunaan racun dan menjimatkan kos pembersihan sisa pokok,” ujar Muhammad Uzzair Harith, selaku ketua kumpulan ketika menerangkan inovasi mereka kepada Buletin TV3.

Produk ciptaan mereka yang dinamakan sebagai Assistive Device Application for Maize (ADAM).

Menurutnya lagi, produk itu dijual pada harga RM6 seunit dan telah mendapat tempahan sebanyak 100 unit dari seorang pengusaha ladang jagung.

Barisan Penasihat Projek, Nur Syazwani Muhammad berkata, inovasi tersebut telah dibantu pihaknya untuk mendapatkan perlindungan harta intelek.

“Produk ni adalah antara produk yang pertama yang pihak kami bantu untuk dapatkan perlindungan harta intelek yang mana sebelum ni produk produk yang dipertandingkan di peringkat sekolah tidak mendapat perlindungan harta intelek.

“Dari situ kami barisan penasihat cubalah untuk membantu sekolah dan secara tak langsung memberi manfaat pada anak anak (murid),” katanya.

Produk ADAM itu akan dibawa menyertai Pameran dan Pertandingan Inovasi, Kreativiti serta Teknologi (ITEX) peringkat kebangsaan pada Mei nanti.

Pihak SK Sena juga akan mengetengahkan produk itu sehingga ke Korea pada penghujung tahun ini bagi mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Loading...
Terkini