comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid rasai pengalaman mengundi, teruja ‘celup jari’

Proses ‘celup jari’ dipantau Pengarah Akademi Pilihanraya, Hasanul Isyraf Naim (kanan)

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Merasai sendiri pengalaman mengundi walaupun belum mencapai usia 18 tahun, merupakan pengalaman baharu bagi 217 murid tahap 2 di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang, disini.

Konsep demokrasi itu diperkenalkan bagi memilih calon kegemaran mereka untuk diangkat sebagai Ketua dan Penolong Ketua Murid.

Pengarah Projek, Zatusy Syamam Naim berkata, pilihan raya sekolah mula dilaksanakan sejak 2021 namun secara julung kalinya tahun ini ia diadakan sama seperti pilihan raya sebenar.

“Kita adakan pilihanraya ini supaya semua murid di tahun 3 hingga 6 dapat terlibat dalam proses pemilihan (Ketua Murid).

“Kalau sebelum ini yang biasanya kita (guru) nampak murid yang berkaliber, kita akan terus lantik sebagai Ketua Murid. Tapi melalui pilihanraya ini mereka kena berusaha untuk dapatkan jawatan itu,” katanya kepada Buletin TV3, selepas selesai proses pengundian di dewan terbuka sekolah.

Jelasnya, enam calon yang bertanding mula berkempen sejak dua minggu lalu dan mereka turut memuatnaik manifesto masing-masing di Youtube sekolah.

Pilihanraya itu dibantu Akademi Pilihanraya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perlis yang memberikan keperluan logistik dan kursus pendidikan pengundian kepada 20 petugas yang terdiri dari kalangan murid.

20 murid SK Tambun Tulang, disini, yang terlibat sebagai petugas pilihanraya

“Pihak sekolah amat digalakkan untuk membuat proses pengundian yang mirip kepada proses pengundian sebenar kerana pendedahan awal ini penting sebelum mereka mencapai umur layak mengundi.

“Sebab nak panggil murid sekolah dengar ceramah sampai 2 jam, 3 jam ini payah, lebih baik kita bagi mereka pengalaman tentang proses sebenar pengundian supaya pengetahuan awal ini sampai kepada mereka,” ujar Pengarah Akademi Pilihanraya, Hasanul Isyraf Naim.

Sementara itu, murid yang ditemui melahirkan rasa teruja namun gementar kerana pertama kali merasai pengalaman ‘celup jari’.

“Saya rasa seronok sebab ni pertama kali undi macam ni. Kalau tidak undi macam tanda atas kertas dan tak celup tangan macam mengundi sebenar,” kata murid tahun 6, Nur Eliani Dahalan.

“Rasa macam teruja sebab dapat mengundi siapa yang akan jadi ketua pengawas,” kata murid tahun 6, Tuah Qabil Benyamin Syazwan.

“Saya pilih calon yang baik, sebelum mengundi hari ini saya dah fikir nak undi siapa,” kata murid tahun 6, Muhammad Amir Naufal Azman.

Melalui pilihanraya itu, Mifzal Rizqin Mohd Reza diangkat sebagai Ketua Murid, manakala Wafa’ Tasnem Mohd Bahij sebagai Penolong Ketua Murid.

Loading...
Terkini