Tumpuan :
Nasional

Murid di Johor ke sekolah pada Jumaat selepas 10 tahun

Sesi persekolahan pada hari Jumaat di Johor selepas 10 tahun berjalan lancar. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Selepas 10 tahun pelajar sekolah bercuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu, hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan dijalankan susulan pertukaran cuti negeri berkuat kuasa Rabu lalu.

Tinjauan di beberapa sekolah di sekitar bandar raya ini mendapati sesi persekolahan berjalan lancar bermula jam 7.15 pagi.

Reaksi pelajar juga dilihat teruja menggalas beg hari ini dan tidak sabar menunggu cuti esok dan lusa.

Suri Rumah, Che Fauziah Hassan, 45 berkata, anak bongsunya berumur sembilan tahun bertanyakan pelbagai soalan sejak semalam, terutama berkaitan masa persekolahan pada Jumaat.

“Anak saya teruja sebab tidak pernah sekolah pada Jumaat, selalu Jumaat cuti. Dia banyak tanya kalau hari Jumaat, masuk sekolah jam berapa?

“Sebagai ibu, saya terangkan dan beritahunya, kelas bermula lambat sedikit jam 2.20 petang selepas solat Jumaat baru saya hantar. Saya beritahu cikgu pun nak solat Jumaat.

“Anak saya yang sulong dan kedua berusia 25 dan 20 tahun sebelum ini pun pernah bersekolah pada hari Jumaat, sebelum Johor tukar cuti Jumaat Sabtu 10 tahun lalu. Setakat ini tiada masalah semuanya lancar,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan sekolah di sini, hari ini.

Sementara itu, pekerja binaan, Mohd Nor Hakim Senin, 39, berkata, sesi persekolahan anaknya hari ini juga berjalan lancar seperti biasa.

“Saya hantar anak ke sekolah setiap hari. Hari ini anak teruja sebab sekolah masuk lambat, pertama kali hari Jumaat dia ke sekolah belajar.

“Anak ada tanya kenapa masuk lambat? Saya terangkan sebab solat Jumaat jadi cikgu lelaki yang beragama Islam kena tunaikan kewajipan itu dahulu sebelum mulakan sesi pembelajaran.

“Anak faham dan dia pun tahu hari ini akan pulang lewat,” katanya.

Pertukaran cuti selaras titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Oktober lalu bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kepada Sabtu dan Ahad selepas mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Sebelum ini, pada 2014, Johor telah mengubah cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini