Oleh: Selwam Arjunan
BUKIT MERTAJAM: Hari Pelaporan Sekolah yang memberi pelepasan awal murid, mengurangkan risiko keselamatan dalam kebakaran Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu, di sini, petang semalam.
Keadaan itu dilihat salah satu faktor tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Menurut ibu bapa murid sekolah berkenaan, sesi petang sekolah terbabit merangkumi murid-murid darjah satu dan dua.
Lazimnya, pada jam enam petang masih terdapat murid yang belum pulang, khususnya yang menunggu ibu bapa.
Menurut Nurdiana Md Taib, semalam merupakan Hari Pelaporan Sekolah yang memerlukan ibu bapa hadir ke sekolah untuk bertemu guru kelas.
Mereka dibenarkan membawa pulang anak mereka setelah selesai urusan berkenaan.
“Kejadian semalam berlaku dalam jam 6 petang. Selalunya murid sesi petang iaitu darjah satu dan dua akan balik kira-kira jam 6 petang.
“Tapi semalam ialah hari pelaporan untuk ibu bapa, jadi murid-murid sesi petang sudah balik awal dalam jam 5 petang.
“Kemungkinan besar sebab itu ketika kejadian tidak ada murid di perkarangan sekolah, semua dah balik awal,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan di sekolah siang tadi.
Katanya, dua orang anaknya belajar di sekolah berkenaan, termasuk seorang dalam darjah satu pada sesi petang.
Bagaimanapun, katanya kelas yang terbakar tidak membabitkan kelas murid darjah satu dan dua, sebaliknya hanya digunakan oleh murid sesi pagi.
“Anak saya kata murid sesi petang tidak menggunakan bilik darjah yang terbakar.
“Hanya murid sesi pagi gunakan bilik terbakar untuk kelas-kelas tertentu,” katanya lagi.
Dia bersyukur tiada murid di perkarangan sekolah ketika kejadian kerana bimbang ia mengakibatkan trauma kepada mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam enam petang itu, lima bilik termasuk sebuah makmal komputer di tingkat tiga bangunan musnah dalam kebakaran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang meninjau lokasi kejadian semalam berkata blok terbakar akan ditutup sehingga dibaik pulih sepenuhnya.
Pada masa yang sama, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tetap akan diteruskan menerusi kaedah yang sesuai, termasuk Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah P-d-P-R atau menggunakan ruang sekolah yang tidak terjejas.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Penguasa Kanan Bomba I Khairy Sulaiman ketika dihubungi berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.