Oleh: Fazli Ahmad
JERANTUT: Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi pengikut GISB Holdings (GISBH) dirogol susulan pendedahan Ummu Atiyah, anak bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad menjadi mangsa jenayah seksual membabitkan pemimpin kumpulan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, bagaimanapun berkata, mangsa tidak tampil membuat laporan berhubung kes rogol terbabit.
“Mungkin ada, tetapi tidak mahu tampil ke hadapan kita minta untuk tampil ke hadapan memberi maklumat atau membuat laporan.” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) 2024 di Taman Negara, Kuala Tahan, di sini, hari ini.
Razarudin berkata, siasatan kes rogol Ummu Atiyah sedang dilakukan.
Menurutnya, polis sudah mengenal pasti individu terbabit dengan jenayah seksual itu berdasarkan keterangan pengadu tetapi suspek belum ditahan.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek kes rogol terbabit antara 34 individu kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA).
Sejak Op Global dilancarkan polis menahan 127 individu termasuk pemimpin GISBH.
Minggu lalu, Ummu Atiyah, 41, dalam satu sidang media di ibu negara, mendakwa menjadi mangsa keganasan dan dirogol seorang pemimpin GISBH serta dikurung di sebuah rumah di Perkampungan Maahad Sayuti, Batu Hampar Dalam, di Beruas, Taiping.
Semalam, wanita terbabit ke Balai Polis Padang Gajah, di Beruas, untuk memberi keterangan kemudian bersama polis untuk menunjukan lokasi mangsa dikurung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.