Oleh: Aslina Abu Bakar
SEREMBAN: Wajahnya garang dan tampak menggerunkan hingga ada yang memanggilnya gangster.
Namun siapa sangka, jejaka bernama Muhammad Mikhael Sathayah yang juga pempengaruh di media sosial amat manja dengan ibunya.
Si anak emak itu mula dikenali selepas video bersama ibunya tular.
Gelaran ‘Mak Titew’ amat sinonim dengan Michael di akaun TikTok.
Berkongsi dirinya dahulu amat berbeza dengan sekarang, apatah lagi sejak memeluk agama Islam lima tahun lalu.
Apa pun pempengaruh ini tetap manja dengan ibunya, M.Muniamah 73 tahun yang sering membantunya ketika susah dan senang.
Malah kecenderungan anak kedua itu yang sering memaklumkan kepada ibu untuk memeluk Islam tidak pernah menjadi isu.
“Saya berhenti kerja sebab mak sakit lutut semua. So, dua minggu sebelum Ramadan, saya just ketuk bilik mak, picit kaki mak. Saya kata mak kenapa anak mak tengah susah sangat ni, dah tak tahu nak buat apa. Ingat ada job ke apa ke kan. Setahun menganggur sampai rasa nak bunuh diri.”
“Mak kata macam ni ke kalau rasa tapak kaki dipicit. Mak tak pernah rasa selepas 70 tahun sedih. Empat hari saya picit, hari kelima 1 Malaysia kenal saya. Sinar baru yang Allah bagi sampai saya ke sini hari ini.”
Mikhael ditemui Buletin TV9 di Rumah Terbuka anjuran Pertubuhan Akademi Al-Bayan, Seremban, baru-baru ini.
Jelasnya hati terdetik mahu mengenali islam sejak 2008 namun sering tidak diendahkan.
Malah sebelum dua kalimah syahadah diungkapkan, dia akhirnya diberi kesempatan Allah untuk memeluk Islam pada 1 Muharram 2018, selepas 10 tahun melawan keinginan hati.
Berasal dari Tambun, Perak, dia kini memilih hidup sebumbung dengan ibu kerana menganggap satu tanggungjwab yang wajib dilaksanakan selaku anak.
Harapan menggunung agar ibunya sentiasa diberi kesihatan yang baik dan bahagia hidup dengannya.