KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah mengambil keterangan daripada Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keterangan Muhyiddin itu diambil di pejabatnya manakala Zaid pula hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Alhamdulillah ini la saya rasa kerjasama yang diberikan kedua-dua personaliti ini amat kita hargai dan mereka secara professional menyatakan pendapat mereka.
“Ini amat memudahkan siasatan kita untuk kita cadangkan tindakan seterusnya kepada pihak pendakwaraya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lima saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin sebelum ini.
Menurutnya, pengerusi PN itu didakwa menyatakan orang Melayu akan kehilangan kuasa dalam ceramahnya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor 3 September lalu.
“Lima saksi juga sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan mengesahkan ucapan itu dibuat Muhyiddin semasa ceramah mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 3 September yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan calon PRK itu, ” katanya.
Mengenai siasatan terhadap Zaid pula, Mohd Shuhaily berkata, ia berhubung ciapan di X pada 30 Ogos lalu.