Oleh : Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, bagi diambil keterangan susulan ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.
Beliau yang berbaju sut biru gelap tiba di perkarangan MIDA tepat jam 10.30 pagi tadi.
Turut kelihatan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan proses mengambil keterangan bekas Perdana Menteri itu sepatutnya berlangsung semalam, namun ditangguhkan ke hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bagi diambil keterangan susulan ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)… pic.twitter.com/R5EIzLPeeT
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 21, 2024
Sabtu lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Muhyiddin yang didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R dalam kempen politik.
Naib Presiden UMNO itu turut meluahkan kekecewaan dan terkilan dengan ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri yang secara biadab menyentuh kewibawaan Sultan Pahang ketika baginda berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Pada Isnin lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Justeru, baginda mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.
Pada hari sama, menerusi kenyataan di Facebook, Muhyiddin menjelaskan, ucapan beliau ketika berkempen PRK DUN Nenggiri terbabit tidak melanggar undang-undang negara, berlandaskan fakta dan tidak bermaksud menghina institusi Raja atau ada kecenderungan menghasut.
Malah beliau berkata akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataannya.
Razarudin juga dilaporkan berkata, polis menerima lebih 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung ucapan Muhyiddin yang akan dipanggil memberi keterangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.