SEREMBAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata kerajaan gabungan yang diterajui antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu sudah dilihat ‘kacau bilau’.
Katanya, UMNO yang dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai liabiliti kepada PH dan Kerajaan Perpaduan.
“Sejak bila UMNO sebulu dengan DAP? Dari dulu sampai la ni (sekarang ini), kalau sebut UMNO dengan DAP, no way… no go. Yang ini sudah berlaku… sudah timbul kacau bilau politik dalam PH dan kacau bilau politik dalam BN, dah kalau parti yang mendukung kerajaan pusat begitu keadaannya, zahirnya nampak berpadu, tapi sebenarnya tidak lagi berpadu, tunggu masa sahaja akan terburai, tersungkur jatuh,” katanya.
Beliau turut mendakwa ramai kini sudah tidak lagi percaya dengan Kerajaan Perpaduan.
“We are talking a serious situation (kita bercakap soal situasi yang serius), keadaan yang cukup dahsyat, yang cukup berat. Sebab itu setiap hari kita tengok Anwar buka mulut, saham jatuh, ringgit jatuh, semuanya jatuh. Bukan sahaja soal jatuh, orang tak percaya,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri AhmadFaizal Azumu dan Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau sudah menyemak dengan beberapa rakannya di FELDA berhubung dengan penghapusan hutang lapuk peneroka, berjumlah RM8.3 bilion seperti yang diumumkan beliau ketika memimpin kerajaan pada 2021. Tambahnya, beliau juga sudah mendapatkan pengesahan daripada bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh berkaitan perkara itu.
“Beliau (Idris) sendiri mengesahkan RM8.3 bilion itu yang diumumkan dulu sudah dilaksanakan oleh kerajaan, sudah masuk dalam penyata bulanan potongan (peneroka). Ada seorang (peneroka) memberitahu saya, mengenai penyata potongan yang mereka nikmati iaitu sekarang hanya perlu bayar RM165 sebulan berbanding dulu hampir RM400, maknanya sebahagian itu sudah dilupuskan,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mendakwa, kerajaan ketika ini dilihat tidak mampu untuk membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat. Beliau berpendapat pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri bulan depan bakal menjadi pungutan suara rakyat sama ada mahu mengekalkan kerajaan sedia ada ataupun memulangkan semula mandat kepada PN.
“Kalau tunggu sebulan dua mungkin boleh lagi, tapi kalau setahun dan lebih, saya tak tahulah apa akan jadi, jadi PRN ini adalah pungutan suara rakyat dan rakyat perlu berikan mesej yang jelas dengan memilih PN,” katanya.