comscore
Tumpuan :
Nasional

Muhyiddin dipanggil beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan akan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) esok untuk memberi keterangan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan perkara itu kepada Berita Harian.

Beliau berkata seluruh barisan kepimpinan tertinggi BERSATU sudah bersiap sedia untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok untuk menghadapi apa saja kemungkinan.

“Hingga kini tiada penafian daripada pihak SPRM mengenai dakwaan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan.

“Kami barisan kepimpinan tertinggi parti akan pergi Ibu Pejabat SPRM esok pagi, kita tunggu sahaja esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya sama ada Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Pagoh itu sudah ditahan, Dr Faiz berkata setakat 6.30 petang ini belum ada apa-apa berita mengenai penahanan beliau.

“Setakat ini, yang diberitahu kepimpinan parti ialah esok jika presiden disahkan menerima arahan untuk ke ibu pejabat SPRM, kami akan bersama-sama beliau ke sana,” katanya.

Terdahulu sejak petang tadi, spekulasi bertiup kencang bahawa SPRM akan menahan seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik dan mengheretnya ke mahkamah atas pertuduhan rasuah.

BH difahamkan pertuduhan akan dikenakan terhadap pemimpin parti itu yang dikatakan sebagai ‘VVIP’, berkaitan siasatan berterusan SPRM terhadap dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Cakap-cakap pemimpin itu akan ditangkap sudah berlegar sejak minggu lalu, dan semalam tersebar dakwaan di media sosial bahawa rumah pemimpin berkenaan dan anaknya diserbu.

Dalam pada itu, sebuah portal yang dikaitkan dengan parti pembangkang terus menamakan pemimpin berkenaan dan menyebut individu berkenaan mungkin dihadapkan ke mahkamah esok.

Dakwaan terhadap pemimpin tertinggi berkenaan dipercayai dibuat susulan beberapa pemimpin parti itu yang sudah dituduh di mahkamah berkaitan dakwaan penyelewengan daripada program pembangunan kontraktor pembinaan.

Loading...
Terkini