KOTA BHARU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Gua Musang esok susulan ceramahnya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara itu berkata, Muhyiddin akan didakwa di bawah seksyen satu Akta Hasutan.
Presiden BERSATU itu sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan selepas didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen.
Dalam pada itu, Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor ketika dihubungi mengesahkan perkara sama.
“Ya. Tan Sri akan didakwa esok di Mahkamah Gua Musang berhubung ceramahnya di PRK Nenggiri baru-baru ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kertas siasatan berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada 66 saksi bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.