comscore
Tumpuan :
Nasional

Muhd Khair Razman mula tugas KSU KKDW baharu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkuat kuasa hari ini.

KKDW dalam kenyataan memaklumkan, Muhd Khair Razman, 58, menggantikan Datuk Seri Ramlan Harun yang bersara wajib pada 30 Mei lalu.

“Pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki beliau akan dapat memperkasakan kementerian dalam memacu perubahan dan kemajuan pembangunan masyarakat desa berteraskan Aspirasi Desa MADANI,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKDW, Muhd Khair Razman berkelulusan Sarjana Undang-Undang (Undang-Undang Antarabangsa) dari Southampton University, United Kingdom dan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1994.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah, Pulau Pinang; Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri / Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perpaduan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Mengulas lanjut, KKDW berkata, Muhd Khair Razman memulakan tugas hari pertama sebagai KSU dengan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen hari ini.

Beliau kemudiannya tiba di bangunan kementerian di sini, disambut Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Mohd Kamal Husin, pegawai pengurusan kanan dan kakitangan KKDW.

Sebagai simbolik, Mohd Kamal menyerahkan pas kerja kepada Muhd Khair Razman yang melakukan sesi ketikan pertama pada perakam waktu di lobi KKDW.

“Pada masa sama, KKDW ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaaan kepada mantan KSU KKDW, Ramlan di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau dalam memimpin kementerian sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, Ramlan kini dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 26 Jun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini