MANJUNG: Seorang kanak-kanak dilaporkan hilang di Pantai Teluk Senangin, di sini, sejak petang semalam ketika beriadah bersama keluarganya.
Operasi mencari Muhammad Faris Irfan 10, disambung pada jam 10.45 malam tadi setelah pihak bomba menerima maklumat tentang kelibat mangsa di kawasan chalet 5 kilometer dari lokasi asal pencarian di Teluk Pantai Senangin.
Terdahulu, operasi pencarian Muhammad Faris Irfan pada asalnya ditangguhkan jam 6.30 petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad berkata, orang awam memaklumkan terlihat mangsa yang memakai seluar hitam berjalur putih dan baju berkolar warna merah jambu berada di sekitar kawasan chalet pada jam 3.30 petang semalam dalam keadaan terpinga-pinga dan takut.
“Jarak chalet itu dari lokasi asal pencarian adalah lebih kurang lima kilometer (km).
“Operasi pencarian pada malam tadi melibatkan dua kumpulan terdiri daripada tiga anggota bomba, enam anggota polis dan 25 orang awam. Pencarian dibuat di sekitar kawasan chalet dan kampung.
“Radius pencarian meliputi 10 km, tetapi tiada sebarang petunjuk baharu ditemui. Operasi ditangguhkan pada jam 12.45 tengah malam,” katanya dalam kenyataan, awal pagi tadi.
Mengulas lanjut operasi pencarian yang dilakukan petang semalam, Sabarodzi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh polis bahawa mangsa disyaki hilang ketika bermain di gigi air dan keluarga mangsa sudah membuat pencarian awal tetapi tidak berjaya menemukan mangsa.
“Ketua operasi membuat size up di lokasi dan mengaplikasikan konsep L.A.S.T serta mengarahkan anggota lengkap peranti pengapungan peribadi (PFD) dan throw bag untuk membuat kerja-kerja pencarian di permukaan dan pencarian di darat.
“Operasi dibantu empat anggota polis dari Balai Polis Segari. Team pencarian dibahagikan kepada dua team..satu team di air dan satu lagi team di darat.
“Operasi pencarian diteruskan di kawasan pesisir pantai di sepanjang Pantai Peranginan Teluk Senangin. Operasi pencarian ditangguhkan pada jam 6.30 petang semalam dan akan bersambung semula pada hari ini jam 8.30 pagi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, keluarga mangsa berasal dari Ipoh.
“Bagi meringankan beban keluarga ini, saya mendapatkan tempat penginapan berdekatan Pantai Teluk Senangin untuk mereka bermalam memandangkan mereka datang dari Ipoh.
“Marilah kita sama-sama doakan agar operasi mencari Muhammad Faris Irfan dipermudahkan dan seterusnya ditemui,” katanya.