Tumpuan :
Nasional

Mufti Pahang, Timbalan Mufti Perak sokong kenaikan denda salah guna logo halal

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim dan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menyokong pandangan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan, yang menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama JAKIM mengkaji semula denda yang lebih tinggi bagi membendung isu penyalahgunaan logo halal.

“Undang-undangnya sememangnya sudah tersedia, namun nilai kompaun dikenakan terhadap pesalah biasanya lebih rendah berbanding jumlah denda maksimumnya hingga RM200,000.

“Mungkin sudah masanya bagi kesalahan sebegini, pihak berkuasa tidak boleh memberikan kompaun, sebaliknya terus mendakwa atau jika dibenarkan kompaun, jumlahnya juga kena lebih tinggi,” kata Prof Datuk Dr Asmadi.

Beliau turut menegaskan, pasukan penguatkuasaan perlu lebih proaktif dalam memantau serta menjatuhkan hukuman terhadap pihak yang menyalahgunakan logo halal. Selain itu, pendidikan mengenai halal juga perlu diperhebat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Jamali sebelum ini menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat untuk memastikan logo halal JAKIM tidak disalahgunakan oleh peniaga.

Ulasan tersebut dibuat susulan isu sandwic ‘ham dan cheese’ yang tertera logo halal di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM), namun JAKIM mengesahkan produk itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Sementara itu, Datuk Zamri berkata permohonan maaf tidak memadai, dan pelaku perlu didakwa serta dikenakan hukuman berat mengikut Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Permohonan maaf saja tidak memadai apatah lagi ia dilakukan berulang kali. Pelaku perlu didakwa untuk mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dan menghormati sensitiviti umat Islam,” tambahnya.

Zamri juga mengingatkan bahawa kepercayaan dunia terhadap logo halal Malaysia akan terjejas jika tindakan tegas tidak diambil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini