Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Muallim menjadi daerah terbaharu terjejas akibat banjir di Perak susulan cuaca hujan sejak semalam.
Setakat jam 2 petang tadi, 14 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di empat buah daerah bagi menempatkan 1195 orang mangsa dari 364 buah keluarga.
Kemaskini dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) menunjukkan jumlah mangsa yang terjejas dan dipindahkan di daerah Muallim adalah seramai 334 orang dari 102 keluarga.
Jumlah mangsa di daerah Kuala Kangsar juga menunjukkan peningkatan kepada 578 orang mangsa setakat jam dua petang tadi, berbanding 342 orang mangsa pagi tadi.
Mangsa yang dipindahkan ke PPS di daerah Kerian dan Hulu Perak masing-masing kekal pada angka direkodkan pagi tadi iaitu, masing-masing 111 dan 172 orang.
APM turut melaporkan beberapa sungai kini berada pada paras amaran bahaya.
Di Kampar, Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang (RHN) merekodkan bacaan pada paras 22.42 meter (m), menghampiri paras bahaya 23.4m.
Di Hulu Perak, Sungai Perak di Kuala Kenderong merekodkan bacaan 112.24m melepasi paras bahaya 111.90m.
Di Hilir Perak, Sungai Bidor di Changkat Jong merekodkan paras bahaya 3.65m melepasi paras bahaya 3.60m.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.