Tumpuan :
Nasional

MTUC Gesa Laksana Sepenuhnya Akta Kerja 1955 Bermula 1 September

KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) melaksanakan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dengan sepenuhnya bermula 1 September ini.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata adalah tidak wajar sama sekali dan adil kepada pekerja yang sentiasa menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, sekiranya ditangguhkan pelaksanaan jika ada pindaan akta ini yang memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, MTUC juga tidak bersetuju sekiranya pelaksanaan tempoh waktu bekerja 45 jam seminggu turut ditangguhkan biarpun ia sudah diwartakan kerajaan.

“Banyak pihak khususnya majikan dan beberapa organisasi perniagaan mendesak KSM menangguhkan pelaksanaannya.

“Sebelum ini, desakan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum juga disuarakan majikan dan beberapa rakan perniagaan dengan pelbagai kenyataan kononnya pihak majikan akan muflis serta banyak syarikat tutup jika gaji minimum dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua pihak berkepentingan sepatutnya sedar cabaran ekonomi dihadapi golongan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih dibebani kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barangan.

Selain itu, katanya, pekerja dari sektor tidak formal juga berhempas pulas bekerja dengan gaji tidak menentu.

“MTUC menegaskan saranan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum sememangnya ditolak sejak awal, begitu juga apa-apa desakan untuk menangguhkan pelaksanaan penuh bagi Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022.

“Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini jelas menunjukkan peningkatan produktiviti bagi suku kedua 2022 dan juga kadar pengangguran sudah menunjukkan penurunan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penangguhan ini juga akan memberi kesan besar terhadap lebih 16.5 juta pekerja di Malaysia.

“Cadangan dan perbincangan berkenaan pindaan ini sudah lama diusahakan dan jika ditangguhkan sama ada sebahagian atau sepenuhnya, akan menyebabkan kerajaan terpaksa berhadapan dengan golongan pekerja yang menunggu pindaan ini.

“Tindakan ini jelas merugikan semua pihak jika kita tidak melaksanakan seperti apa yang sudah dirancang dan dijanjikan, apatah lagi akta itu sudah diwartakan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Effendy berkata, tindakan mengurangkan tempoh bekerja kepada 45 jam satu permulaan baik dan ke arah pematuhan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu 40 jam seminggu.

“Ia satu keputusan adil kepada semua pihak iaitu majikan dan pekerja yang pasti menjadi titik tolak kepada Malaysia untuk terus menambah baik waktu bekerja 40 jam seminggu seperti diperjuangkan MTUC.

“Ia juga sudah terbukti di seluruh dunia, mempunyai kesan positif terhadap sektor ekonomi dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Katanya, MTUC berharap melalui pelaksanaan bekerja 45 jam seminggu ini, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dapat melakukan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan semua majikan mematuhi peraturan baharu itu.

“MTUC menggesa majikan tidak manipulasi bayaran kerja lebih masa dan waktu rehat pekerja apabila pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam akan dilaksanakan mulai 1 September nanti.

“Ini usaha kerajaan Keluarga Malaysia dalam memastikan piawaian perundangan perburuhan negara setaraf piawaian antarabangsa dan dapat mengimbangi keperluan majikan serta pekerja,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini