comscore
Tumpuan :
Nasional

MTPMA63: Pemberian Khas interim Sabah, Sarawak naik kepada RM600 juta

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media selepas hadir pada mesyuarat MTPMA63 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan telah meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah dari RM300 juta kepada RM600 juta iaitu sekali ganda peningkatan daripada tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semakan itu sepatunya dibuat setiap lima tahun sekali namun ianya telah diputuskan lebih awal dan dijadual dilaksanakan tahun depan.

Perkara itu ujarnya telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

“Ada beberapa perkara yang kita bincangkan tadi pasti yang utama iaitu berhubung kait dengan perkara 112D ini untuk peruntukan khas Sabah dan Sarawak di mana tahun lepas telah diumumkan sebanyak RM300 juta untuk setiap negeri dan kalau mengikut ini merupakan interim.

“Yang sekarang ni dari segi formula belum dapat dimuktamadkan kalau ikut interim kalau ikutkan semakan setiap lima tahun tapi tadi diputuskan oleh Perdana Menteri untuk menaikkan kadar interim ini daripada RM300 juta kepada RM600 juta untuk setiap negeri maknanya sekali ganda kenaikan ini akan bermula pada tahun 2025.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada mesyuarat MTPMA63 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Tambah Fadillah pengumuman itu juga sepatutnya dibuat pada pembentangan belanjawan akan datang namun telah dipersetujui diumumkan lebih awal pada mesyuarat MTPMA63 kali ini.

“Sebab dia interim jadi Sabah dan Sarawak menerima dengan hati yang terbuka sudah pasti Sabah Sarawak mengucapkan terima kasih tapi di akhirnya disebabkan ianya interim kita masih mencari jalan bagaimana untuk mencari formula.

“Yang penting kita mengucapkan terima kasih bagi pihak negeri Sabah dan Sarawak sebab ada kenaikkan itu lebih kepada membantu Sabah Sarawak seperti pengurusan dan sebagainya bagaiama pengurusan digunakan terserah kepada Sabah Sarawak yang penting peningkatan itu berlaku,” katanya.

Menurut Fadillah lagi kemaskini mengenai perbincangan mesyuarat MTPMA63 kali ini akan dikemaskini tiga bulan akan datang seterusnya dimaklumkan kepada Perdana Menteri bersama Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir mempengerusikan mesyuarat  MTPMA63, di sini hari ini yang berlangsung hampir tiga jam di SICC.

Sesi mesyuarat itu turut melibatkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta beberapa barisan menteri kabinet Persekutuan dan kabinet negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini