Tumpuan :
Nasional

MTL: Bekalan ikan mencukupi -LKIM

Foto hiasan

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan di seluruh negara mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan sepanjang MTL dengan menaikkan harga ikan.

Katanya, situasi semasa bekalan ikan adalah mencukupi dan tidak sepatutnya berlaku kenaikan harga memandangkan peniaga dapat mengimport bekalan ikan tertentu dari Thailand dan India.

“Apa yang saya nak tekankan adalah bekalan ikan mencukupi dan yang menjual ikan adalah peniaga bukannya nelayan.

“Mereka (peniaga) boleh mengimport bekalan ikan dari negara luar termasuk Thailand dan India kerana kita sendiri yang memberi lesen import berkenaan.

“Sehingga kini, sebanyak 2,664 lesen import yang aktif dikeluarkan oleh LKIM kepada peniaga dan melalui import berkenaan menjadikan bekalan ikan mencukupi termasuk musim MTL di mana nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Justeru, orang ramai tidak perlu gusar kerana bekalan ikan adalah mencukupi. Namun kita akui ikan segar di negeri tertentu sudah tentu bekalan berkurangan memandangkan nelayan tidak dapat turun ke laut, namun negeri yang tidak terjejas dengan MTL, bekalan mereka tiada masalah,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut katanya, LKIM menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) juga mempunyai 1,600 metrik tan ikan sejuk beku untuk menampung bekalan di pasaran seluruh negara.

“Kita akan sentiasa memantau rapi berhubung bekalan ikan dan berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan membebankan rakyat,” katanya.

Semalam media melaporkan, harga ikan di Kelantan dijangka meningkat sehingga 50 peratus sepanjang tempoh MTL, mulai bulan depan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kelantan (Peneka), Mohd Saripudin Ishak dilaporkan berkata, ia berikutan bekalan ikan segar berkurangan disebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

Katanya, sepanjang tempoh itu, bekalan ikan akan diambil dari negeri lain termasuk Kedah dan kenaikan berlaku disebabkan kos pengangkutan bekalan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini