GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menghantar sebanyak 20.8 tan makanan kepada lima pos pedalaman Orang Asli, di sini.
Operasi selama empat hari yang bermula pada Isnin lalu itu tamat, hari ini dengan jumlah penghantar sebanyak 1,097 bakul makanan di Pos Simpor (230); Pos Gob (177); Pos Balar (223); Pos Bihai (304) dan Pos Belatim (163).
Juruterbang Pangkalan Udara Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Wahyudi Mohd Sayuhti, berkata operasi itu membabitkan 21 anggota dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah dan Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang.
Katanya, operasi itu ada adalah kerjasama daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menyediakan bakul makanan untuk diagihkan kepada penduduk Orang Asli yang terjejas kerana Monsun Timur Laut (MTL).
“Operasi ini membabitkan dua jenis helikopter iaitu Agusta Westland 189 dan Agusta Westland 139 masing-masing dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, Selangor dan Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang.
“Untuk hari terakhir, hari ini sebanyak 93 bakul makanan dihantar ke kawasan pedalaman dan ini melengkapkan keseluruhan 1,097 bakul makanan dengan berat 20.8 tan kepada penduduk Orang Asli di Pos Simpor, Pos Gob; Pos Balar; Pos Bihai dan Pos Belatim.
“Alhamdulillah, cuaca baik sepanjang empat operasi membolehkan operasi ini berjalan lancar. Hanya pada waktu petang kita dapati hujan dan mendung di beberapa kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui selepas operasi penghantaran bakul makanan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Penghulu Kampung Tendrik, Pos Bihai, Alang Segan, berkata dia bersyukur dengan keprihatinan pihak JAKOA yang sudi membekalkan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman.
Katanya, kerjasama antara JAKOA dan unit udara itu membolehkan bantuan disalurkan kepada penduduk Orang Asli yang terkesan kerana MTL.
“Kami sangat bersyukur dengan bantuan makanan ini kerana bermula November tahun lalu penduduk terjejas sumber makanan apabila sukar untuk keluar kerana jalan perhubungan rosak akibat cuaca hujan.