comscore
Tumpuan :
Nasional

MRT 2 rangkai khidmat LRT, monorel, komuter menerusi 8 stesen pertukaran

Suasana pada hari pertama MRT 2 dibuka pada orang ramai di Putrajaya. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT 2) yang mula beroperasi semalam, merangkaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan komuter menerusi 8 stesen pertukaran.

Inisiatif ini memudahkan lagi pengguna perkhidmatan awam untuk ke pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang terutamanya pada laluan ibu kota ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Laluan sepanjang 57.7 kilometer itu keseluruhannya dilengkapi 36 stesen, iaitu 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dirangkaikan dengan lapan stesen yang membolehkan pengguna menukar kepada perkhidmatan monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM).

MRT Laluan Putrajaya Dua dibangunkan dengan kos RM30.53 bilion, melalui kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan, perkhidmatan dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, yang dikendalikan anak syarikat Prasarana, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) itu menggunakan 49 tren empat gerabak, yang berkapasiti 1,200 orang.

Di stesen Kwasa Damansara, pengguna boleh meletak kenderaan di kawasan disediakan dan menggunakan kemudahan MRT Laluan Kajang melalui stesen Kampung Selamat, Sungai Buloh, Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Seri Damansara Timur dan Metro Prima.

Seterusnya melalui stesen Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima, Kampung Batu, Kentonmen, Jalan Ipoh, Sentul Barat, Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Raja Uda, Ampang Park, Persiaran KLCC, Conlay, Tun Razak Exchange (TRX), Chan Sow Lin, Bandar Malaysia Utara, Bandar Malaysia Selatan dan Kuchai.

Dari stesen Kuchai, ia seterusnya melalui stesen Taman Naga Emas, Sungai Besi, Taman Teknologi, Serdang Raya Utara, Serdang Raya Selatan, Serdang Jaya, UPM, Taman Universiti, Taman Equine, Putra Permai , 16 Seirra, Cyberjaya Utara, Cyberjaya City Centre dan berakhir di Putrajaya Sentral.

Stesen MRT Kwasa Damansara ialah stesen pertukaran MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya, Stesen MRT Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur pula stesen pertukaran KTM Laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang.

Stesen MRT Titiwangsa menjadi stesen pertukaran ke laluan Monorel KL serta LRT Laluan Ampang dan Seri Petaling. Di Stesen MRT Ampang Park, pengguna boleh menukar ke perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, begitu juga di Stesen MRT Chan Sow Lin yang juga stesen pertukaran ke LRT Laluan Ampang.

Stesen MRT Sungai Besi pula ialah stesen pertukaran LRT Seri Petaling, Stesen MRT Tun Razak Exchange stesen pertukaran MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya, manakala Stesen MRT Putrajaya Sentral menyediakan pertukaran ke perkhidmatan ERL Laluan KLIA Transit.

Kemudahan letak kenderaan selesa disediakan di Stesen MRT Kwasa Damansara, Sungai Buloh, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Jinjang, Kentonmen, Kuchai, Taman Naga Emas, Serdang Raya Utara, UPM, Taman Equine, Cyberjaya Utara dan Putrajaya Sentral.

MRT Corp turut menyediakan bas perantara ke stesen, mesin tiket layan diri, pusat perkhidmatan pelanggan, platform tengah, surau, lif, eskalator, tempat letak kereta dan tandas awam bagi kemudahan pengguna.

Dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 penumpang setiap hari bagi tahun pertama.

Dengan kemudahan pengangkutan itu, tempoh perjalanan dari Putrajaya Sentral ke Kwasa Damansara mengambil masa 84 minit, dengan kekerapan tren adalah lima minit pada waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak.

Sebelum ini, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu membabitkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu, dibuka untuk pengguna pada 16 Jun tahun lalu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini