Oleh Nur Ain Zulfah Yahya
KUALA LUMPUR: Penyakit jarang jumpa seperti Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH) menyebabkan ada pasangan yang telah berumah tangga membuat keputusan untuk berpisah disebabkan ketidaksempurnaan pasangannya yang tiada rahim.
Menurut Ketua Unit Pediatrik dan Remaja Ginekologi (PAG) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Profesor Madya Dr Ani Amelia Datuk Zainuddin, kebanyakan suami akan terkejut setelah mengetahui isterinya tidak boleh mengandung sehingga mengambil keputusan untuk berpisah.
“Ada pasangan yang tak boleh kan so kadang-kadang wanita MRKH ni ada yang bawa pasangan jumpa saya sama ada boyfriend ataupun dah tunang ataupun dah bersuami pun, selalu saya akan cakap dengan wanita tu sendiri lepastu saya tanyalah you nak saya cakap dengan suami, bakal pasangan ataupun you nak cakap sendiri.
“So ada yang kata nak saya cakapkan sendiri. Then suruh dia bawa masuk suami tu of course suami tu terkejut lah kan, benda ni bukan… it s a rare diseases jarang didengar, ada yang tak boleh terima, so ada juga antara mereka yang break,” katanya kepada Buletin TV3
Prof Amelia turut menambah, di Malaysia, terdapat kajian yang dilakukan seorang pelajar masternya, Dr Hariza Hatim bersama-sama pengkaji lain telah menemu bual 12 orang penghidap MRKH.
Temu bual itu mendapati kesan penyakit ini mempengaruhi dari segi psikologi, hubungan dengan pasangan, hubungan dengan keluarga, mengalami stigma dan sebagainya.
Namun kata Prof Amelia, ada juga suami yang boleh menerima isteri seadanya meskipun mengetahui pasangannya tidak boleh melahirkan zuriat.
Kerana jelasnya terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan oleh wanita penghidap sindrom MRKH melalui pembentukan saluran faraj dengan menggunakan alat yang dikenali sebagai ‘vaginal dilator’.
“Macam katalah ni kita punya saluran faraj so dia boleh guna vaginal dilator tu boleh tekan untuk katalah 30 minit, kalau diorang rajin buat tiap-tiap hari bila diorang bersendirian dalam bilik air ke kat dalam bilik ke, then lama-lama dia macam plastisin dia terbentuklah saluran faraj tu so kalau dia rajin boleh sampai tujuh sentimeter so kita selalu syorkan dia buat ni bila dia plan nak kahwin,” katanya.
Jelasnya lagi jika rawatan itu tidak berjaya, pesakit disarankan membuat pembedahan ‘luohu’, di mana proses pembedahan ini diajar oleh Profesor Luohu dari China kepada pakar-pakar perubatan di HCTM tentang bagaimana proses ‘vaginoplasty’ boleh dilakukan kepada penghidap MRKH.
Dalam pada itu, menurut Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan, fatwa yang diputuskan bagi rawatan pemindahan dan pendermaan rahim boleh diubah mengikut situasi semasa.
Memandangkan rawatan itu dilakukan oleh beberapa negara luar yang mendatangkan kebaikan dalam sesebuah perkahwinan.
“Jadi sebab itu ada beberapa pandangan misalnya hari ini keperluan kepada pemindahan rahim ataupun yang disebut sebagai pendermaan rahim ini suatu yang merupakan perlu diberi perhatian kerana telah terdapat beberapa negara yang telah melakukan perkara sedemikian misalnya di negara Arab Saudi, Jerman, Jordan, China, Sweden, dan juga di Lebanon, ” katanya.
Sementara itu, pengasas MRKH Malaysia, Wani Ardy, 39, satu-satunya penghidap MRKH yang berani tampil depan khalayak ramai dalam memberi kesedaran, melalui kumpulan sokongan yang ditubuhkan sejak tahun 2015 dan kini mempunyai hampir 200 orang penghidap MRKH Malaysia termasuk Singapura dan Indonesia.
“Dalam kumpulan sokongan kita pun ada doktor, ada profesor, ada researcher dan sebagainya mereka pun tolong educate kita so mereka lebih kenal diri kita dan kita rasa lebih yakin untuk hidup sebagai wanita MRKH,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa dan suami juga perlu diberikan konsultasi dari segi tips untuk penghidap MRKH menjalani kehidupan seharian, jenis terapi yang boleh dilakukan, rawatan pembedahan yang boleh dilaksanakan dan disyorkan doktor pakar sakit puan khususnya di HCTM.