Oleh Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Bilangan suami menjadi suri rumah semakin meningkat, tambahan pula ramai yang kehilangan pekerjaan selepas COVID-19 melanda negara awal 2020 lalu.
Walaupun tiada data rasmi mengenai jumlah suami yang menjadi suri rumah, namun kebanyakan pasangan memilih keputusan itu demi kelangsungan perkahwinan mereka.
Rata-rata orang awam yang ditemui di sekitar Petaling Jaya berpendapat perubahan arus perdana telah banyak mengubah persepsi orang ramai mengenai suami sebagai suri rumah.
Yang penting mereka memahami peranan sebagai ketua keluarga selain tidak mengambil mudah tanggungjawab sehingga membebankan isteri.
Kakitangan Awam, Norharyana Jaafar berkata, pelbagai faktor boleh mendorong keputusan sedemikian.
“Lazimnya keputusan itu diambil setelah pasangan menemui jalan buntu contohnya apabila suami hilang pekerjaan atau membabitkan hal pengurusan anak.
“Ia bergantung kepada perbincangan dan keputusan pasangan masing masing.
” Bagaimanapun, sebagai suami dia perlu faham tanggungjawab mereka terutama berkaitan nafkah,yang penting jangan ambil kesempatan atas kerelaan isteri,” katanya.
Kakitangan Awam Ariff Ibrahim, 36 berkata, sekiranya sukar mendapat pekerjaan, pelbagai usaha lain boleh dilakukan di rumah contohnya menjana pendapatan melalui ekonomi Gig yang kian berkembang pesat.
” Suami perlu bijak mencari peluang dan dalam masa sama berusaha sebaik mungkin untuk menyara keluarga kerana itu kewajipan mereka.
” Zaman sekarang ni banyak cabaran yang kita perlu hadapi termasuk mereka yang sudah berumah tangga. Jadi mereka perlu memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan perjalanan hidup mereka lebih baik,” katanya.
Melalui pandangan yang diperoleh di Laman Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, suami wajib berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap pendapatan isteri kecuali isterinya redha.
Sekurang-kurangnya mereka berusaha menyediakan tempat tinggal yang selamat termasuk keperluan asas untuk isteri dan anak-anak.
Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dalam syarak untuk menjaga keluarga.