Oleh: Fazli Ahmad
MARAN: Seorang maut, manakala lima yang lain parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki enam sekeluarga merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat masalah tayar di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) satu dekat hentian rehat dan rawat (R&R) Maran, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1:50 pagi, apabila pemandu lori berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan berhenti untuk menukar tayar di lorong kecemasan.
Menurut beliau, MPV yang dinaiki enam sekeluarga dan dipandu seorang jurutera berusia 41 tahun, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu, merempuh bahagian kanan belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan.
Akibat kemalangan itu, anak lelaki jurutera terbabit, Muhammad Al Amin Mohd Adil, 12 yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan, maut di tempat kejadian.
“Pemandu MPV, isteri serta empat lagi anak pasangan terbabit yang berusia antara satu hingga 10 tahun mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.
Wong turut memaklumkan pemandu lori yang berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan mendapati, pemandu lori itu turut meletakkan kon di belakang kenderaan sebagai tanda amaran setelah berhenti di lorong kecemasan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.