Tumpuan :
Nasional

MPV langgar lori, 7 pesilat dan seorang guru cedera 

Foto: NSTP

ALOR GAJAH: 8 cedera termasuklah tujuh pesilat lelaki dan seorang guru selepas kenderaan pelbagai guna (MPV), Proton Exora dinaiki merempuh lori, di sini pagi tadi.

Kemalangan berlaku di Kilometer 220 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan kira-kira jam 5.10 pagi.

Difahamkan semua mangsa dari Kelab Silat Olahraga Ledang dalam perjalanan pulang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Tangkak, Johor.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati Proton Exora dipandu guru lelaki berusia 36 tahun baru pulang dari pertandingan silat di Ara Damansara, Petaling Jaya membawa tujuh pesilat.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Exora yang berada di lorong paling kiri melanggar belakang sebuah lori yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya.

“Kemalangan mengakibatkan pemandu dan tujuh penumpang MPV berusia 16 hingga 21 tahun yang ketika itu sedang tidur mengalami cedera ringan dan dirawat di Zon Hijau Hospital Alor Gajah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mengikut keterangan pemandu MPV, lori terbabit tidak berhenti sebaliknya meneruskan perjalanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini