KUALA LUMPUR: Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) tampil dengan seruan azan versi baharu yang lebih segar apabila memilih menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Seruan azan itu berkumandang buat kali pertama menerusi azan Zohor, hari ini dibawakan oleh Sheikh Abdul Karim Umar Al Makki.
Inisiatif itu adalah sebahagian usaha MPTN untuk tampil lebih inovatif dan segar seiring dengan peredaran zaman.
Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ruzmi Kamaruddin berkata, pembaharuan itu bukan sekadar memberi sentuhan segar daripada segi visual dan audio, malah mencerminkan penghormatan terhadap tradisi suci yang tidak pernah pudar nilai.
“Selepas 10 tahun, TV3 lancarkan azan baharu, hari ini. Ia sebagai usaha meningkatkan martabat azan.
“Seperti diketahui, azan salah satu daripada syiar Islam. Namun, usaha nak jalankan azan versi baharu bukan mudah.
“Kami ambil masa berapa bulan untuk menyiapkannya. Kami perlu fikir banyak perkara seperti lokasi dan muazzin, tapi kami guna muazzin sama yang pernah digunakan 10 tahun lalu.
“Namun, istimewanya, versi baharu ini menampilkan teknologi AI untuk dilihat lebih segar. Hampir 70 peratus versi baharu ini menggunakan teknologi AI. Ia adalah tarikan besar buat azan versi baharu ini.
“Kami mahu memberikan azan yang boleh menarik perhatian dan orang ramai boleh segera mengerjakan solat,” katanya yang ditemui pada program Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman yang membawakan topik Azan di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahmad Noor Sulaiman sebagai moderator serta Ustaz Khairul Anuar Basri dan Ustaz Adnin Roslan sebagai panel jemputan.
Mereka mengulas topik menyentuh hati mengenai nilai dan penghayatan azan dalam kehidupan umat Islam.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan Child From The East.
Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman itu turut menampilkan Ahmad Fedtri Yahya sebagai hos.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.