Tumpuan :
Nasional

MPPK kecam kes buli di UPNM, insiden cemar reputasi universiti

KUALA LUMPUR: Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan kes buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini, adalah bertentangan nilai kemanusiaan dan prinsip keamanan yang seharusnya diterapkan dalam institusi pendidikan.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya insiden buli yang berlaku di universiti berkenaan membabitkan seorang penuntut tahun satu mengalami kecederaan serius pada tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak oleh penuntut senior.

Menurutnya, kejadian itu mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi sebagai tempat untuk membentuk generasi muda yang berilmu, berintegriti, dan mempunyai jati diri yang tinggi.

“Budaya buli dalam kalangan mahasiswa tidak boleh diterima sama sekali, kerana ia bukan saja mengancam keselamatan fizikal pelajar, tetapi juga memberikan kesan buruk terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan komuniti kampus secara keseluruhan.

“Sehubungan itu, Alumni MPPK menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh Malaysia agar menolak sepenuhnya budaya buli dan keganasan dalam apa jua bentuk. Mahasiswa adalah pemimpin masa depan, dan sikap bertanggungjawab serta hormat-menghormati harus menjadi asas perhubungan sesama penuntut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga menggesa pihak universiti meningkatkan langkah pencegahan dan memastikan perlindungan yang menyeluruh terhadap keselamatan semua mahasiswa.

“Pihak berkuasa diharapkan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbukti terbabit dalam insiden ini, bagi memberi mesej jelas bahawa buli dan keganasan tidak akan dibiarkan tanpa tindakan.

“Kami berharap masyarakat tidak membuat spekulasi berhubung insiden itu dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan dengan telus. Kita perlu menolak budaya buli dan membina institusi pendidikan yang aman dan harmoni,” katanya.

Media melaporkan penuntut tahun satu UPNM, Kem Sungai Besi, di sini, mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.

Kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang penuntut universiti sama yang melecur di badan akibat ditekap dengan seterika oleh penuntut senior.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, lelaki berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga, di universiti berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini