Tumpuan :
Nasional

Mpox, PKP tidak akan berulang – KKM

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

SUNGAI BULOH: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan berulang bagi membendung penularan cacar monyet (Mpox) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi jaminan perkara itu apabila beliau memaklumi mengenai kaedah jangkitan Mpox.

Pendekatan untuk tidak mengulangi PKP itu dibuat selepas mengambil kira tiada jangkitan Mpox direkodkan selepas menjalankan saringan ke atas 6.2 juta pengembara di semua pintu masuk negara, setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat tidak boleh mengambil mudah jangkitan Mpox dan perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.

“Kita sudah keluar daripada pandemik COVID-19, tetapi saya diterjah dengan kemungkinan (jangkitan) Mpox, saya kerap diasak supaya meningkatkan prosedur operasi standard (SOP)”

“Insya-Allah, Mpox tidaklah akan mengulangi waktu seperti PKP. Namun, saya juga mahu ingatkan supaya kita jangan terlalu selesa kerana kita tahu kaedah jangkitannya”

“Jangan risau tidak akan ada MCO (lockdown) (seperti) dalam era pandemik Covid-19 namun saya juga mahu ingatkan semua jangan pula terlalu selesa kita tahu transisi (jangkitan) virus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin dan Pengarah ILKKM Sungai Buloh, Robert Wong Kim Han.

Sementara itu, Datuk Dr Dzulkefly pada sidang media berkata, KKM ketika ini sedang melaksanakan proses pemerolehan antiviral Mpox dengan golongan rentan akan diletakkan dalam senarai penerima utama.

“Kesiapsiagaan KKM membendung penularan Mpox berada di tahap terbaik. Justeru, orang ramai tidak perlu gusar dan cemas.

“Kita perlu wujudkan keseimbangan, tetapi jangan pernah ambil mudah mengenai penularan sebarang penyakit, sama ada berjangkit atau sebaliknya,”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini