comscore
Tumpuan :
Nasional

PBT perlu tegas dalam prosedur penguatkuasaan

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) melawat tapak pesta ria bersama pihak berkuasa di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, baru-baru ini. – FOTO: NSTP

KUALA SELANGOR: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) diingatkan supaya lebih tegas dalam prosedur penguatkuasaan bagi mengelak kejadian tiga individu cedera di pesta ria di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, Isnin lalu kembali berulang.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata beliau menerima laporan bahawa tapak pesta ria itu disiapkan seawal dua minggu sebelum pembukaan rasminya.

Menurutnya, amat malang bagaimana penganjur yang tidak diberikan kelulusan, telah beroperasi dan dibuka kepada orang awam selama tiga hari sebelum kejadian.

“Saya yakin aspek prosedur kelulusan sentiasa dikemaskini MPKS.

“Bagaimanapun, kejadian tragis melibatkan keselamatan dan nyawa itu ternyata amat dikesali. Insiden ini dapat dielakkan sekiranya ada pemantauan ketat yang dibuat dari awal,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya semua pihak terutamanya MPKS memastikan penguatkuasaan prosedur dijalankan dengan lebih berkesan.

“Semua pihak perlu sentiasa bekerjasama dengan membangunkan kemudahan fasiliti, kesejahteraan dan peningkatan keselamatannya.

“Namun, penganjur pesta ria terbabit juga harus bertanggungjawab atas apa yang telah menimpa ke atas semua mangsa yang cedera,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh dari permainan ‘Sotong Ride’.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat, berkata sitaan dijalankan pada 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan.

Beliau berkata, selain beroperasi secara haram, taman tema itu juga tidak mendapat kebenaran MPKS, selain polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Sehubungan itu, katanya, MPKS turut memberi notis kompaun kepada pengusaha taman tema itu mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.

Loading...
Terkini