Tumpuan :
Nasional

MPKS gempur premis niaga warga asing sekitar Saujana Utama

Pasukan operasi membuat pemeriksaan terhadap premis yang diserbu di sekitar Saujana Putra hari ini.

KUALA SELANGOR: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menggempur premis perniagaan dijalankan warga asing di kawasan Saujana Utama, Sungai Buloh menerusi operasi bersepadu, hari ini.

MPKS menerusi kenyataan di Facebook, berkata operasi membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan jumlah keseluruhan seramai 41 anggota.

“Operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir 2 petang tadi menumpukan pemeriksaan ke atas beberapa premis perniagaan yang disyaki dijalankan warga asing tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang tempatan.

“Empat lokasi telah disasarkan, termasuk kedai runcit dan pusat cucian kereta,” katanya, di sini.

MPKS berkata, pihaknya menggempur lokasi pertama iaitu sebuah kedai runcit dan mengeluarkan kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, notis berhenti perniagaan dan menyita peralatan perniagaan.

Pada masa sama katanya, SSM turut mengeluarkan kompaun berkaitan kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-Kaedah Kawalan Harga 1957.

“Di lokasi kedua, sebuah pusat cucian kereta dikenakan kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, iklan tanpa kebenaran dan notis berhenti perniagaan. Peralatan perniagaan turut disita.

“Pemeriksaan ke atas premis makanan juga dilakukan dan kompaun dikeluarkan kerana tidak menjaga kebersihan premis makanan, tidak memakai penutup kepala, membuang sisa makanan terus ke longkang awam dan notis diwajibkan mengambil suntikan anti tifoid.

“Lokasi ketiga pula membabitkan sebuah kedai runcit. Beberapa kompaun dikeluarkan termasuk kesalahan halangan tempat awam, membuang cecair kotor di kawasan awam dan menjalankan perniagaan tanpa lesen. KPDN juga mengambil tindakan ke atas alat timbang yang tamat tempoh sah.

“Di lokasi keempat juga membabitkan sebuah kedai runcit. Notis dikeluarkan membabitkan pemberhentian perniagaan dan melanggar syarat lesen. SSM pula mengeluarkan kompaun di bawah Akta Syarikat 2016,” katanya.

MPKS berkata, secara keseluruhan operasi itu berjaya mengesan pelbagai kesalahan dan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang melanggar undang-undang.

“Operasi seumpama ini penting untuk memastikan perniagaan dijalankan secara sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjaga kepentingan awam dan keselamatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini