Tumpuan :
Nasional

MPK nafi tindakan zalim, kejam terhadap anjing liar

Majlis Perbandaran Kluang (MPK)

JOHOR: Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan tindakan zalim dan penganiayaan terhadap anjing liar seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Yang Dipertua MPK, Mohd Fahmy Yahya berkata, pihaknya telah mengenal pasti perkongsian video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial yang mendakwa bahawa MPK menganiaya anjing liar.

“Proses tangkapan dan pelupusan anjing-anjing tersebut dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 5 Tahun 2014, Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya prosedur yang diguna pakai melibatkan suntikan PTS (Put To Sleep), yang hanya dilakukan oleh pegawai yang disahkan oleh Jabatan Veterinar.

Ubat-ubatan yang digunakan juga mendapat kelulusan dari Jabatan Veterinar.

Berikutan penularan video tersebut, pihak MPK telah membuat laporan polis terhadap akaun media sosial yang terlibat untuk mempertahankan imej dan reputasi mereka.

“Kami berharap dengan penerangan yang diberikan ini, orang ramai dapat memahami prosedur yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan bersama dengan Jabatan Veterinar.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah bertindak zalim atau menganiaya haiwan dan kami mengutuk sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini