comscore
Tumpuan :
Nasional

MPI umum CEO baharu ganti Datuk Mustapa Omar

Ainol Amriz Ismail.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Malaysian Press Institute (MPI) mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) barunya yang akan berkuatkuasa 1 Oktober depan, Ainol Amriz Ismail.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Datuk Mustapa Omar yang akan menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 30 September ini untuk memberi tumpuan dalam bidang lain.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, pelantikan Ainol itu dipersetujui Ahli Majlis Pentadbir MPI setelah melalui proses temuduga.

Katanya, pertimbangan itu dibuat berdasarkan pengalaman dan kepakaran beliau dalam media, komunikasi dan tenaga pengajar industri.

“Pelantikan Ainol Amriz berdasarkan pendekatannya yang segar dan pengetahuannya yang mendalam dalam bidang kewartawanan baharu, terutamanya dalam media sosial.

“(Pelantikan itu) untuk membolehkan MPI kekal relevan sebagai penyedia latihan terunggul dalam landskap media yang sentiasa berubah,” kata dalam satu kenyataan dikeluarkan MPI hari ini.

Beliau sebelum ini merupakan Penolong Pengarang UtusanTV dan Ahli Majlis Pentadbir MPI.

Ainol Amriz berkelulusan Sarjana Sains Sosial (Pengurusan Komunikasi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM).

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan, media dan komunikasi, pernah berkhidmat di Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) sebagai Pengurus Jabatan Pengarang dan Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn Bhd, anak syarikat UMMB, iaitu syarikat penyedia latihan.

Beliau juga adalah jurulatih berakreditasi (certified) dari Human Resources Development Corporation (HRD Corp) sejak tahun 2018 dan aktif mengajar di seluruh negara dalam skop media, komunikasi dan kandungan digital.

Ainol yang pernah menjadi Ahli Majlis Pentadbir pada tahun 2016-2018, turut terlibat dalam pendidikan sebagai Pensyarah Sambilan untuk beberapa semester di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam pada itu, Datuk Yong turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Mustapa atas khidmatnya yang cemerlang khususnya dalam mentransformasi MPI ke arah lebih dinamik dan telus.

“Apabila beliau mengambil alih peranan CEO Ogos tahun lalu, Pak Mus berharap akan dapat memberi impak yang ketara dalam masa yang singkat.

“Dalam hal ini, Pak Mus sangat berjaya dalam hasratnya untuk membawa MPI kepada lembaran baru.

“Kami menghormati keputusan Pak Mus untuk melepaskan jawatan sejak Mac lalu selepas mencapai sasarannya dan memohon beliau menangguhkannya sehingga kami mendapat calon sesuai untuk dipanggil temuduga,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini