Tumpuan :
Nasional

MPB serah RM4.1 Juta sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima kepada 3 NGO

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Syed Hussian Aljunid (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima Berhad, Rosli Sabarudin (tujuh dari kiri) bersama wakil wakil daripda NGO yang menerima sumbangan ketika sesi Penyerahan sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima kepada Mercy Malaysia, Humanitarian Care Malaysia dan Malaysian Relief Agency di Anjung Riong, Balai Berita. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (MPB) melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima hari ini menyerahkan sumbangan RM4,118,649.32 kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan misi kemanusiaan di bumi Palestin.

NGO yang terpilih adalah Mercy Malaysia, Humanitarian Care Malaysia (MyCare), dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB Rosli Sabarudin berkata, bantuan yang disalurkan itu adalah hasil sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap rakyat Gaza yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis.

“Hari ini kita melaksanakan amanat ribuan penyumbang melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui rakan NGO Media Prima yang beroperasi di sana.

“Ini adalah kali kedua penyaluran bantuan dilaksanakan dengan pengagihan sumbangan dibuat mengikut program bantuan kemanusiaan yang dipersetujui bersama rakan NGO terbabit.

“Alhamdulillah, fasa pertama penghantaran bantuan berjaya dilaksanakan tahun lalu oleh rakan NGO kita walaupun mereka berdepan pelbagai halangan dan sekatan oleh rejim Israel,” katanya pada Majlis Penyerahan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Kepada Tiga NGO di Anjung Riong, Balai Berita, hari ini.

Rosli turut memberitahu, tumpuan MPB dalam penyaluran sumbangan kali ini adalah bagi membantu pembangunan semula infrastruktur rakyat Gaza yang dimusnahkan oleh rejim tidak berperikemanusiaan.

Cek replika sumbangan disampaikan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid kepada Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus; Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman; dan Pengerusi MyCare, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

MPB mengagihkan sumbangan orang ramai berjumlah RM1.27 juta kepada MRA, RM1.32 juta pula disumbangkan kepada Mercy Malaysia, manakala MyCare menerima RM1.53 juta.

Penyerahan bantuan itu menjadikan jumlah agihan keseluruhan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima kini meningkat hampir RM6.1 juta.

Sementara itu, Kamal Nasharuddin menzahirkan penghargaan atas komitmen MPB yang meneruskan inisiatif mengumpul sumbangan bagi membantu rakyat Gaza yang terjejas.

“Kami berterima kasih kepada MPB atas kesudian memberi sumbangan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, malah ini kali kedua MyCare diamanahkan untuk kerja kebajikan ini.

“Kali ini, kami akan memberi tumpuan kepada keperluan mendesak, antaranya menghantar ubat-ubatan, menyalurkan bantuan air bersih, dan hasil kutipan akan turut digunakan bagi mewujudkan kemudahan solar panel, khususnya di hospital selepas bekalan elektrik terputus akibat dibom.

“Insya-Allah, misi kemanusiaan akan digerakkan sesegera yang boleh, dalam tahun ini,” katanya.

Orang ramai boleh meneruskan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima melalui akaun Bank Muamalat: 1401 0008 8447 15 atau Maybank: 5642 7651 0331.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini