
KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (MPB) mengambil inisiatif menganjurkan kempen Seindah Kasih yang bakal mengisi hari-hari penonton dengan pelbagai program bermanfaat sempena ketibaan bulan Ramadan.
Tema Seindah Kasih dipilih sebagai pesanan kepada umat Islam sentiasa bersyukur dengan apa yang dinikmati, terutama selepas mengharungi pelbagai ujian ketika berhadapan COVID-19, termasuk bencana alam yang meragut nyawa serta merosakkan harta.
Tema itu akan menyemarakkan kempen Ramadan Raya 2023 menerusi TV3, TV9, Tonton, Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Primeworks Studios, Berita Harian, Harian Metro, Oh Bulan, Seismik, Xtra, Sirap Limau, Waktu Solat Malaysia dan Big Tree.
Kempen itu menampilkan beberapa selebriti seperti Mimi Lana, Anas Ridzuan, Siti Saleha, Luqman Hafidz, Shasha Abedul, Meerqeen, Anna Jobling, Ruhainies, Daniel Fong, Ain Edruce termasuk Ejen Ali sebagai wajah kempen.
Malah, MPB melancarkan lagu tema Seindah Kasih yang dinyanyikan Bil Musa dan naib juara program Terpaling Juara, Aqmal Ramdan.
Kelmarin, kempen Seindah Kasih dilancarkan menerusi siaran langsung program The Seindah Kasih Show di TV3 dan Tonton yang dikendalikan Fizi Ali dan Fiza Frizzy.
Ia dimeriahkan kehadiran barisan selebriti popular seperti Meerqeen, Anna Jobling, Ruhainies, Daniel Fong, Fedtri Yahya, Anas Ridzuan, Mimi Lana, Luqman Hafidz, Shasha Abedul, Dato’ Chef Ismail, Michael Ang dan Ustaz Tarmizi serta persembahan nyanyian daripada Aina Abdul, Ernie Zakri, Hael Husaini dan Rahmad Mega.
Siaran sejam itu memperkenalkan susunan aktiviti dan program menarik merangkumi slot inspirasi & travelog, drama, bual bicara, gaya hidup dan hiburan sepanjang bulan ramadan di TV3, TV9, Tonton, WOW Shop, Harian Metro dan Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda.

Bagi program yang disiarkan di TV3 antaranya adalah Tanyalah Ustaz Seindah Kasih, Tanyalah Ustaz Juz ‘Amma, Jejak Rasul Ulama Pewaris Rasul III, Sembang Sahur, Sahabat Backpacker, Jalan-Jalan Cari Makan Ramadan, Jom Berbuka dan Apa Nak Masak Ni? dan Pesan Makan.
Selain itu, antara drama yang bakal menemani penonton, antaranya Jaga Aku Selamanya, Melur Untuk Firdaus 2, Bukan Puteri Lindungan Bulan, Misteri Flat Kirana, Sekali Aku Bahagia, Bintang dan Kerasnya Takdir.
TV9 pula bakal menyajikan penonton di rumah dengan program yang membincangkan mengenai al-Quran bersama asatizah pilihan dan program realiti masakan, Dapur Tempur Ra-Ra dihoskan oleh Yasmin Hani.
Platform penstriman di bawah MPB, Tonton turut diisi pelbagai tayangan istimewa seperti Tonton Original: Seindah Kasih The Movie, Tonton Soundstage X Seindah Kasih termasuk Tonton Original: Penggali Kubur dan Miss Sleepwalker.
Sementara itu, Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda yang akan disiarkan di TV3, ia adalah program baharu dengan konsep menjelajah ke semenanjung Malaysia membabitkan zon Utara, Selatan, Tengah dan Timur sepanjang Ramadan.
Ia bertujuan mengagihkan set iftar dan barangan keperluan ke rumah anak yatim, orang tua, golongan ibu tunggal dan B40.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3 dan TV9, layari www.xtra.com.my.