Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Media Prima Berhad (MPB) nyata komitmen untuk meningkatkan kerjasama dengan pihak kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata beliau yakin dengan peranan MPB sebagai media penyiar utama negara dalam menguar-uarkan hasrat kerajaan mentransformasi perkhidmatan awam.
“Ini adalah permulaan kepada kerjasama yang baik antara Media Prima dan kerajaan, di mana saya yakin Media Prima dapat menguar-uarkan segala inisiatif kerajaan untuk disampaikan kepada rakyat dalam kita menyelesaikan segala permasalahan-permasalahan, rungutan-rungutan rakyat dan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang sejahtera berkonsepkan kepada Madani.
“Saya yakin Media Prima adalah salah satu penyiar terbaik bagi menguar-uarkan hasrat dan inisiatif kerajaan ini,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di sini.
Dalam pada itu, Pengerusi MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, MPB juga sedia untuk meningkatkan kerjasama dengan pihak kerajaan.
“Perjumpaan kita dengan Tan Sri Shamsul Azri hari ini adalah untuk membincangkan kolaborasi yang boleh diadakan antara MPB dan pihak kerajaan, yang mana kerajaan boleh menggunakan platform sedia ada di MPB untuk menguar-uarkan dasar kerajaan.
“InsyaAllah kita akan mempertingkatkan lagi kerjasama sedia ada.” Ujarnya.
Terdahulu Tan Sri Shamsul Azri menerima kunjungan hormat daripada pengurusan kanan Media Prima Berhad di pejabat beliau di Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.
Kunjungan diketuai Datuk Seri Dr Syed Hussian dan disertai Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali.
Turut serta, Pengarang Urusan Kumpulan, Jasbant Singh, Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz serta Timbalan Editor Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.