comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] MPB mempunyai pelbagai platform untuk mempromosikan Jepun – Duta Jepun ke Malaysia  

Oleh : Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Kedutaan Jepun di Malaysia melihat Media Prima Berhad (MPB) sebagai konglomerat media holistik yang boleh menyebarkan maklumat secara berkesan untuk mempromosikan negaranya.

Duta Besar, Takahashi Katsuhiko berkata, pelbagai platform cetak, radio dan televisyen MPB dapat memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kandungan berkaitan Jepun untuk rakyat Malaysia.

“Sebagai contoh media bercetak dapat berkongisi aktiviti harian kami, manakala radio pula dapat memberi maklumat dan menyentuh perbualan tentang perkara yang berlaku di Jepun.

” Media televisyen juga dapat digunakan untuk dokumentari,” ujarnya.

Tambahnya, Jepun mahu lebih ramai pelancong meneroka bukan sahaja bandar popular seperti Tokyo, Osaka dan Fukuoka.

“Ada juga kawasan luar bandar yang belum begitu dikenali. Dan memandangkan saya juga orang luar bandar, saya ingin mempromosikan kawasan ini kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Takahashi ditemui ketika lawatan sulungnya ke MPB, di Sri Pentas hari ini, selepas pelantikannya sebagai duta baharu ke Malaysia pada 2021.

Kehadiran beliau disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid,di sini.

Mengulas lanjut mengenai hubungan antara Malaysia dan negara matahari terbit itu, ujarnya, kedua-dua negara mempunyai jalinan yang amat baik.

“Sehingga kini, lebih daripada 1600 syarikat Jepun telah melabur di Malaysia, dan angka berkenaan masih bertambah walaupun ketika negara mendepani pandemik Covid-19.

“Dalam sektor budaya, kerjasama antara negara dilihat memberangsangkan, contohnya di Festival Bon Odori ke-47 bertempat di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), Shah Alam, Selangor baru-baru ini yang mendapat sambutan sehingga 40,000 peserta,” ujarnya kepada pemberita.

Ketika lawatannya ke Sri Pentas, Takahashi juga sempat melawat dan beramah mesra dengan warga kerja Media Prima termasuk di REV Media, stesyen radio HotFM dan FlyFM serta berpeluang membaca berita bersama penyampai berita, Azaria Tagaya
di Studio A.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio, Nazri Noran; Ketua Pegawai Operasi REV Media Group, Nicholas Sagau; Editor Kumpulan NST, Farrah Naz Karim dan Timbalan Editor Kumpulan, Berita & Hal Ehwal Semasa, Media Prima Rangkaian Televisyen, Azhari Muhidin.

Manakala wakil kedutaan besar Jepun ke Malaysia ialah Setiausaha Pertamanya, Nakajima Kaoru.

Loading...
Terkini