comscore
Tumpuan :
Nasional

MPA sampaikan ‘Salam Dari Malaysia’ untuk rakyat Palestin

Lagu genre pop yang membawa mesej kemanusian itu adalah tanda solidariti MPA dan MAPIM dalam menyokong usaha bantuan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Oleh Zaid Shah Zulkarnain

PETALING JAYA: Sempena setahun penderitaan rakyat Palestin sejak tragedi 7 Oktober tahun lalu, Media Prima Audio (MPA) hari ini melancarkan lagu ‘Salam Dari Malaysia,’ sebuah inisiatif kemanusiaan yang melibatkan kerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin.

Lagu itu merupakan karya komposer terkenal, Edry Abdul Halim, bersama penulis lirik Fedtri Yahya, dan disiarkan serentak di semua stesen radio MPA seperti Hot FM, Fly FM, Kool 101, dan Molek FM.

Tujuannya adalah untuk menyuarakan sokongan serta keprihatinan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, sambil meningkatkan kesedaran mengenai konflik yang kian berlarutan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran memaklumkan bahawa inisiatif ini adalah usaha berterusan untuk menyampaikan mesej kemanusiaan yang ikhlas melalui seni muzik sebagai medium universal.

Lagu tersebut turut menampilkan personaliti radio seperti AG dari Hot FM, Haiza dari Kool 101, dan Ean dari Fly FM, bersama barisan artis tempatan terkemuka termasuk Tomok, Khai Bahar, Marsha Milan, Nabila Razali, Suki Low, Sweet Qismina, dan Balan Kash.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof, berkata bahawa projek ini bukan sekadar simbol solidariti, sebaliknya ia adalah usaha menyeluruh yang melibatkan rakyat berbilang bangsa dan latar belakang.

“Konflik Palestin bukan sekadar isu agama tetapi juga isu kemanusiaan yang menyentuh hati semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu tersebut di Sri Pentas di sini.

Selain itu, Dr. Sani Al-Araby yang mewakili MAPIM menyatakan penghargaan atas sokongan ini dan menjelaskan bahawa mesej ‘Salam Dari Malaysia’ mengingatkan dunia tentang penderitaan yang dialami rakyat Gaza.

MAPIM turut menyeru rakyat Malaysia agar terus berdiri bersama Palestin dan menyokong segala usaha bantuan kemanusiaan.

Dalam masa yang sama, Media Prima melalui Hot FM turut menganjurkan jualan amal Car Boot Sale di Banglo 298, Kuala Lumpur, dengan kerjasama selebriti tempatan untuk mengumpul dana bagi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Tabung tersebut berjaya mengumpul dana sebanyak RM6,977.88, yang akan disalurkan kepada MAPIM untuk menyokong misi bantuan kemanusiaan di Palestin, termasuk membekalkan barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan, dan keperluan kecemasan.

Melalui inisiatif itu, MPA dan MAPIM berharap rakyat Malaysia dapat terus menyuarakan solidariti melalui seni lagu dan usaha amal sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin yang ditindas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini