Tumpuan :
Nasional

MPA lancar studio baharu lima rangkaian radio

Nazri ketengahkan teknologi AI dalam pembaharuan studio bagi membentuk dimensi baharu dalam dunia penyiaran radio.

Oleh: Zati Nizam

KUALA LUMPUR: Media Prima Audio (MPA) membentuk dimensi baharu dunia penyiaran radio melalui pembaharuan studio yang lengkap dengan ciri unik tersendiri dan terkini.

Pembaharuan itu meliputi kelima-lima stesen radio MPA iaitu Hot FM, Kool 101, Molek FM, Fly FM dan Eight FM yang kini beroperasi sepenuhnya di Balai Berita, Bangsar.

Ketua Pengarah Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, kejayaan dalam menampilkan penyampai radio teknologi buatan AI, DJ Aina Sabrina di Fly FM pada 2023 menjadi batu loncatan kepada MPA untuk terus menyinar dalam arena penyiaran radio.

Justeru, pembaharuan itu membawa penggunaan teknologi yang dinaik taraf menerusi kerjasama syarikat Metaverse.

“Kita beranikan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu selain membina sebuah ‘studio set up’ yang akan kekal untuk beberapa tahun lagi akan datang.

“Konsep ‘studio set up’ itu akan bercirikan moden tetapi minimal selain turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Nazri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Studio Baharu Rangkaian Radio MPA di Balai Berita, Bangsar sempena sambutan Hari Radio Sedunia, hari ini.

Ujarnya lagi, aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja turut dititikberatkan dengan penggunaan teknologi perlindungan bakteria daripada syarikat EV Sun.

Ia turut menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MPA dengan rakan kolaborasi, EV Sun dan Metaspace.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini