KUALA LUMPUR: Kesemua 29 Ahli Parlimen BERSATU tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ia termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Perkara itu disahkan Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ahli Parlimen Machang.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, ini kerana mereka memberi sokongan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ahli Parlimen Pagoh yang hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Beliau turut mengesahkan tidak akan hadir pada persidangan pada sebelah petang.
Selain Ahli Parlimen BERSATU, beberapa wakil daripada PAS juga dilaporkan memberi sokongan kepada Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang memberi keterangan di SPRM dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Ia antaranya, Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Beberapa Ahli Parlimen daripada PAS yang kelihatan di dewan ialah Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).
SPRM mengesahkan Muhyiddin akan didakwa di mahkamah esok.
Sementara itu, ketika sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Teresa Kok (PH-Seputeh) bangkit mencelah dengan bertanyakan ke mana ‘ustaz-ustaz’ pergi yang merujuk kepada Ahli Parlimen PAS.
“Ini ustaz tidak bertanggungjawab,” katanya yang membangkitkan jumlah kuorum tidak mencukupi 26 Ahli Parlimen.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, kemudiannya menyatakan hanya 25 Ahli Parlimen berada dalam dewan.”
Tidak cukup… hanya 25 orang, saya akan tekan loceng,” katanya.
Namun sesi penggulungan diteruskan tanpa sempat loceng dibunyikan selepas kuorum kembali kepada 26 Ahli Parlimen. – BERITA HARIAN