Tumpuan :
Nasional

Motosikal enjin 150cc wajib dilengkapi ABS mulai 1 Januari 2025

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa 1 Januari tahun depan, semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc ke atas wajib dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan sistem tersebut mampu menurunkan kadar kematian jalan raya sehingga 31 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kematian kemalangan jalan raya di negara ini dan dorongan kepada negara ASEAN lain untuk mengguna pakai kaedah sama dengan menjadikan penggunaan motosikal selamat merentas rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024, di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 65 peratus daripada 6,443 jumlah kematian jalan raya tahun lalu membabitkan penunggang motosikal.

Sementara itu, Ahmad Zahid mencadangkan Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP) iaitu sistem penarafan menyeluruh pertama di dunia untuk motosikal diperluas ke luar negara.

Beliau mengesyorkan, MyMAP yang dilaksanakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu merangkumi rantau ASEAN atau Asia bagi meningkatkan keselamatan motosikal di seluruh benua.

“Sekarang anda akan mengetahui motosikal mana dari syarikat apa yang selamat, atau tidak selamat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024, hari ini. FOTO: NSTP

Setakat ini, MyMAP telah menilai 28 model daripada tujuh pengilang motosikal dengan kesemuanya diberi penarafan bintang.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut Ahmad Zahid, keputusan untuk menurunkan had laju daripada 40 kilometer per jam kepada 30 kilometer per jam di zon sekolah sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamtan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR).

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan sistem pengurusan had laju ini seperti memasang palang atau bonggol bagi memperlahankan trafik di zon sekolah.

“Jika inisiatif ini berjaya mengurangkan kemalangan jalan raya di zon sekolah, kita mungkin mempertimbangkan untuk memperluaskannya di kawasan bersesuaian dalam bandar pula,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan sudah menggazet kadar had laju itu atau sebaliknya dalam sidang media selepas majlis tersebut, beliau berkata kerajaan akan menggazet kadar tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini